TANGGUNGJAWAB BERSAMA BAGI BANTERAS GEJALA PONTENG
Published byPELAJAR merupakan kelompok masyarakat bakal generasi masa depan negara yang perlu dibentuk sahsiah diri sebagai individu berguna lagi berwibawa.
Pelajar bakal pewaris generasi akan datang perlu dibentuk dan dibimbing menjadi individu positif dan produktif.
Untuk tujuan ini mereka sepatutnya menghabiskan sebahagian besar masa yang ada dengan dunia pembelajaran.
Di mana setiap hari kecuali cuti hujung minggu atau cuti umum, golongan ini sewajarnya hadir kesekolah menimba ilmu yang dicurahkan oleh para guru bertindak sebagai pembimbing kearah persediaan membentuk kehidupan bermasyarakat.
Bagaimanapun, menurut Datuk Dr. Norhafizah Musa, seorang pendakwah yang juga Pensyarah Bahagian Psikoterapi Dakwah dan Pembangunan Insan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mutakhir ini masyarakat dibebankan dengan sikap segelintir pelajar tanpa mengira peringkat sama ada di sekolah rendah mahupun menengah, juga dalam aliran akademik atau agama yang boleh dianggap sebagai "parasit masyarakat" sering ponteng dan tidak hadir sekolah.
Kelompok ini, katanya, bukanlah besar bilangannya namun sebahagian mereka mungkin tidak diketahui melakukan perkara berkenaan oleh ibu bapa mahupun penjaga.
Selalunya mereka ponteng dengan melepak di pusat-pusat beli-belah, surau, masjid, kafe siber serta tempat-tempat tertentu untuk melakukan kegiatan seperti merokok, main game atau melayari Internet dengan perkara tidak berfaedah menggunakan telefon pintar.
Pelajar dalam kategori ini selalunya akan balik ke rumah masing-masing sebaik sahaja masa persekolahan tamat seolah-olah mereka tidak ponteng sama saperti pelajar lain yang hadir ke sekolah.
Besar kemungkinan keadaan ini tidak dapat dikesan mahupun dihidu oleh ibu bapa kerana masa mereka dipenuhkan dengan bekerja dari awal pagi hingga lewat petang, malahan ada sebahagiannya bekerja sampai malam.
Bila sampai musim peperiksaan tahunan antara September hingga Disember tidak kira Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Ujian Penilaian Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) barulah kelompok ini mula gelabah untuk mengulang kaji pelajaran melalui bantuan rakan-rakan sekelas.
Belajar secara ekspres jika tersalah langkah boleh memakan diri dan terpaksa menghadapi risiko.
Sekiranya mana-mana subjek tertentu yang mereka sasar tidak keluar dalam soalan kertas peperiksaan sudah tentulah sukar untuk dijawab.
Dr. Norhafizah berkata, bagi mengelakkan fenomena ini berterusan ada baiknya dipastikan setiap pelajar menunaikan tanggungjawab memenuhi tuntutan menimba ilmu di sekolah antara jam 7.45 pagi hingga 1.20 tengah hari.
Manakala masa selebihnya selain mengulang kaji bolehlah dipenuhkan dengan kegiatan berfaedah sama ada melibatkan diri dengan kokurikulum, sukan, pengajian ilmu agama, aktiviti sukarela dan sebagainya.
Janganlah masa yang terluang, ujarnya, dipenuhkan dengan perkara-perkara tidak berfaedah sehingga boleh mengabaikan atau mengganggu gugat kelancaran bidang pembelajaran.
Sehubungan dengan ini juga, beliau berharap, ibu bapa dan penjaga perlu meluangkan masa mengawasi kegiatan anak-anak terutama yang masih bersekolah supaya mereka tidak terjerumus ke kancah yang kurang disenangi.
Masyarakat sepatutnya sama-sama bertanggungjawab jika ada anak-anak sekolah ponteng dan melepak dengan mengambil inisiatif melaporkannya kepada Guru Displin sekolah dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain selalu menasihatkan anak-anak termasuk anak jiran.
Kata Dr. Norhafizah, komuniti perlu bertindak positif dan ibu bapa pelajar terlibat wajar bekerjasama dalam usaha untuk mengatasi isu ini.
Sementara itu, bagi masyarakat Islam mempunyai kelebihan tertentu melalui prospektif agama untuk memudahkan anak-anak menghadapi peperiksaan dengan lebih tenang dan yakin melalui amalam zikir dan ayat-ayat Al Quran jika dibandingkan dengan agama-agama lain.
Ini semua bergantung persediaan awal yang dilakukan oleh pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan.
Anak-anak yang didedahkan dengan kaedah penggunaan amalan zikir dan ayat-ayat Al Quran membuatkan hati mereka lebih tenteram dan fokus dalam menjawab soalan peperiksaan di samping lebih yakin dalam menimba ilmu pengetahuan dalam dunia pembelajaran.
Menurut Dr. Norhafizah lagi, anak-anak yang diberi pendedahan berkaitan agama seperti zikir dan ayat-ayat Al Quran mampu memberi ketenangan jiwa.
Malahan setiap bimbingan dan tunjuk ajar guru-guru atau sesiapa sahaja mudah diterima dan dingati.
Dalam beberapa siri ceramah motivasi dan dakwahnya, beliau yang dikenali dengan panggilan Kak Cik dan asal tempat kelahiran di Kuala Jempol, Negeri Sembilan menyaran agar anak-anak dibimbing dengan konsep Islam untuk menjadikan mereka individu yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Melalui cara Islam sebenar yang merangkumi budaya kehidupan harian, anak-anak akan lebih bersopan dan beradab di samping pandu arah keluarga atau ibu bapa mereka tidak akan mudah terpesong dengan budaya hidup negatif masa kini.
Sekurang-kurangnya meraka dapat membezakan antara yang bermanfaat atau sebaliknya.
Bagi keluarga dan ibu bapa Islam yang mempunyai anak bakal menghadapi peperiksaan cubalah amalkan zikir Asmaul Husna yang mempunyai kekuatan dan manfaat tersendiri.
Bacalah zikir ini sepanjang tempuh anak-anak menjalani peperiksaan:
1) ALLAHHUMMA - Dibaca satu kali diikuti Ya Alim Ya Hakim Ya Roshid. Baca 40 kali.
Niatkan dalam hati : Ya Allah. Alirkan kebijaksanaan ke dalam minda anakku agar dia dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik.
2) ALLAHHUMMA - Dibaca satu kali diikuti Ya Zohir. Baca 40 kali.
Niatkan dalam hati : Ya Allah kau nampakkan jawapan yang betul dalam minda anakku kerana KAU Maha menampakkannya.
3) ALLAHHUMMA - Dibaca satu kali diikuti Ya Fatah. Baca 40 kali.
Niatkan dalam hati : Ya Allah. Bukakan minda anakku seluas langit dan bumi semoga dia nampak segala jawapan yang betul.
4) ALLAHHUMA - Baca satu kali diikuti Ya Baari. Baca 40 kali.
Niatkan dalam hati : Ya Allah aku serahkan seluruh jiwa raga anakku hanya kepada-MU untuk KAU uruskan sebaik baiknya, sepanjang dia menjalani peperiksaan ini. Ya ALLAH kau aturkanlah otak dan minda juga jari jemarinya untuk menjawab dengan pimpinan-MU Ya Had. Aku yakin hanya kuasa-MU sahaja ya Allah. Aku tiada daya (satu kali)
5) Ulang dan ulang.
Kalau anak menghadapi peperiksaan satu jam. Zikirlah dan bayangkan anak-anak menjawab soalan dengan betul dan senyum.
Pastikan anak-anak ambil wuduk semasa masuk ke Dewan Peperiksaan. Ibu bapa pula wajar beristigfar sepanjang peperiksaan berlangsung.
Malahan Nurhafizah sering mengamalkan DOA MUNAJAT dalam kehidupan harian dan doa itu yang dicatat dibahagian muka hadapan al-Quran miliknya sewaktu zaman persekolahan dahulu hilang tanpa disedari lebih 15 tahun.
Setelah dijumpai doa tersebut dicatat pada al-Quran anak-anak dengan harapan terus diamalkan.
Maksud doa tersebut:
" Illahi... Engkau terima taubatku dan ampunkan dosaku,maka muliakanlah kefahaman sehingga aku dapat menghafaz dan memahami segala apa yang aku dengar daripada ilmu dan Al Quran. Dan muliakanlah aku dengan suara yang lunak merdu supaya sehingga sesiapa yang mendengar kata-kata, bacaanku, suaraku maka bertambahlah syahdu (menjadi sebab musabab mendapat hidayah) walaupun dia seorang yang keras hati. Dan muliakanlah aku dengan rezeki yang halal dan kurniakanlah aku rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui."
Antara kelebihan doa munajat termasuklah diampunkan dosa dan diterima taubat, dimudahkan kefahaman ilmu dan al-Quran, dimudahkan menghafaz ilmu dan al-Quran, memperolehi nikmat suara memukau sehingga sesiapa mendengar bertambah gementar hati agar melihat kebenaran Allah walaupun sebenarnya mereka keras hati.
Juga bakal dimuliakan dengan rezeki yang halal sahaja. Dijauhkan yang haram dan syubhah.
Tulis doa munajat dalam al-Quran atau cetaknya dan tampal dinding bilik mahupun pejabat, ujar Dr. Norhafizah.