TINGKATKAN PERPADUAN, BENTUK NEGARA HARMONI

Published by
KitaReporters
MASYARAKAT di Malaysia hari ini perlu menghindarkan anasir yang tidak baik merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan harian komuniti sebaliknya perlu meningkatkan ciri-ciri perpaduan dalam membentuk sebuah negara harmoni dan aman.

Sehubungan itu, setiap individu  sewajarnya menyemai sifat kasih sayang kepada tanah air tercinta melalui semangat perpaduan dalam kalangan berbilang bangsa.

Perkara ini dinyatakan oleh Exco Kerajaan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud pada Majlis Program Merdeka @ Komuniti Parlimen Puchong dan Menyambut Ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 di Taman Puchong Permai, Puchong, Selangor Darul Ehsan pada Sabtu malam.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri mahukan semangat perpaduan ini dipertahan bagi membolehkan negara terus kekal cemerlang pada tahap dunia.

Katanya, kesepaduan dan strategi yang dirancang oleh para pemimpin hari ini dan sebelumnya menjadikan Malaysia cemerlang dalam berbagai bidang dan mampu muncul sebagai negara contoh termasuk mengenai toleransi beragama.

Menyentuh mengenai Program Kibar Jalur Gemilang Ahli Dewan Undangan ( ADN ) Seri Serdang ini, beliau mahukan ia dilaksanakan dengan sepenuh jiwa oleh oleh individu masyarakat di komuniti masing-masing bukan sekadar suka-suka sahaja.

Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Petaling menerima kehadiran tetamu konvoi dengan salah satu daripada dua kumpulan Kembara Jalur Gemilang 2019 itu diketuai Haji Hussin Haji Bedut dengan 19 buah kereta dan 23 buah motosikal berkuasa besar.

Ketibaan konvoi tersebut telah disambut oleh Dr Siti Mariah dan beliau juga melepaskannya untuk ke pusat hentian seterusnya sehingga di perhentian terakhir di Dataran Putra Jaya.

Pelawak, pelakon dan penyanyi Haji Mazlan Ahmad Mahmud atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet dari Kelab Permotoran J17 merupakan antara peserta konvoi yang juga disertai Jabatan Penerangan, FINAS, media, Jabatan Pertahanan Awam, polis dan JPJ.

Majlis yang mendapat sambutan daripada penduduk setempat turut dimeriahkan dengan acara persembahan kebudayaan, penyampaian hadiah pakaian tercantik kemerdekaan dan cabutan bertuah.

Acara penyampaian bendera kepada agensi kerajaan dan badan-badan NGO oleh Dr Siti Mariah turut memenuhi program yang dianggap sebagai menarik dan berjaya itu.

"Sebagai rakyat yang cintakan tanah air kita wajib mengingati sejarah jasa pemimpin yang berjuang mempertahan negara daripada belenggu penjajah melalui semangat perpaduan. Semangat ini hendaklah sentiasa dijaga dan dipelihara demi genarasi masa depan," ujarnya.

Dr. Siti Mariah bt Mahmud menyerahkan plak penghargaan Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019, Haji Hussien Haji Bedut.


Dr Siti Mariah menunjukkan buku catatan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 yang selepas beliau menandatanginya. Buku tersebut akan dibawa oleh konvoi ke pusat hentian selanjutnya.


Sebahagian remaja dan kanak-kanak yang teruja memeriah Program Merdeka @ Komuniti Parlimen Puchong di Taman Puchong Permai Sabtu malam.

0
0
0
0
0

Copy Link: