PENDUDUK PERLU POSITIF SUBANG JAYA JADI BANDAR RAYA

Published by
KitaReporters
PARA PENDUDUK dan masyarakat dalam kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) wajar bersedia menyesuaikan diri bila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dinaik taraf sebagai bandar raya pada tahun depan.

A. Ambarasan  (bertopi putih) melihat Pertandingan Dam Ular Gergasi Kategori Keluarga yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia anjuran JKP MPSJ Zon 19 di Pangsapuri Rusellia, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.


Untuk itu, para penduduknya perlu bersikap positif bersedia menerima dan bekerjasama dalam menerap beberapa perubahan drastik yang bakal wujud termasuklah kenaikan per kapita dan taraf hidup penduduk, perubahan cukai, peningkatan nilai hartanah serta kediaman, isu kebersihan, sampah sarap, masalah peningkatan kepadatan penduduk, isu kesihatan dan lain-lainnya.

MPSJ dijangka akan dinaik taraf sebagai bandar raya pada penghujung tahun depan setelah mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan dan perkenan Sultan Selangor.

Sekarang proses ke arah menjayakan rancangan tersebut sedang berjalan dan Kerajaan Negeri Selangor memberikan kerjasama penuh.

Sebahagian kanak-kanak yang turut serta dalam acara Pertandingan Mewarna sempena sambutan Hari Malaysia anjuran JKP MPSJ Zon 19 tekun melakukan kerja mereka.


Perkara ini dinyatakan oleh A. Ambarasan selaku Ahli Majlis MPSJ Zon 19 yang ditemui di Majlis Sambutan Hari Malaysia di Pangsapuri Rusellia, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pada Ahad malam (15/9/2019 ) lalu.

Katanya, para penduduk dalam kawasan pentadbiran MPSJ lebih-lebih lagi di Zon 19 perlu bersikap positif  menerima setiap perubahan dengan hati terbuka sesuai dengan matlamat menjadikan Selangor negeri produktif dan termaju di Malaysia.

Antara keluarga pemenang pertandingan Dam Ular Gergasi Kategori Keluarga menerima hadiah daripada A. Ambarasan.


MPSJ yang dibahagikan kepada 24 zon, jelasnya, sudah tentulah akan menghadapi masalah-masalah khusus termasuklah isu sampah, kebersihan, kebanjiran warga asing, lalu lintas, kepadatan penduduk dan pelbagai.

Bagaimanapun, tegasnya, jika kerjasama penduduk sentiasa dipertingkat MPSJ tidak akan menghadapi masalah-masalah berkenaan dengan serius. 

Beliau yang sudah dua penggal dipertanggungjawabkan sebagai Ahli Majlis MPSJ memberitahu, beberapa projek pembangunan prasarana sedang dan akan dilaksanakan di sekitar Zon 19 dalam tempoh terdekat.

Antaranya sebuah Dewan Orang Ramai bernilai lingkungan RM1 juta dengan kapasiti 1,000 orang bagi satu-satu majlis sedang dibina di kawasan Padang Permainan Seksyen 3 Lestari Perdana berhadapan Taman Seri Indah.

Dewan yang turut dilengkapkan dengan tiga gelanggang sukan dijangka siap antara satu ke dua tahun. Bila siap nanti, ia bakal menempatkan Pejabat Ahli Majlis MPSJ Zon 19 yang sekarang ini beroperasi di Dewan Dr. George di Taman Equine .  

Sobri antara pemenang utama Kategori Keluarga acara pertandingan Dam Ular Gergasi sempena Sambutan Hari Malaysia anjuran JKP MPSJ Zon 19 menerima hadiah kemenangan.


A. Ambarasan memberitahu, dua jejantas bakal dibina di Bandar Putra Permai bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang agak mendesak iaitu berhampiran AEON Seri Kembangan dan hadapan Giant berdekatan Kompleks Niaga Atmosphere tidak lama lagi.

Sekarang kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak sudah mampu dikurangkan dari sebelumnya berikutan syarikat pemaju yang melaksanakan projek pembangunan di kawasan itu telah diarah mengubah laluan untuk destinasi tertentu.

Antara pemenang utama pertandingan mewarna Kategori Kanak-Kanak pada sambutan Hari Malaysia bersama hadiah yang dimenangi. 


Dengan hasil kerja yang menarik adik ini berjaya memenangi antara hadiah utama pertandingan mewarna Kategori Kanak Kanak sempena Sambutan Hari Malaysia anjuran JKP MPSJ Zon 19.


Katanya, ini hasil daripada beberapa usaha perbincangan dan mesyuarat bersama MPSJ mengenai isu-isu yang timbul di sekitar Zon 19 selain masalah kebersihan, sampah sarap, gerai-gerai tanpa lesen, kes denggi dan lain-lainnya.

Menyentuh mengenai pangsapuri angkat JKP MPSJ Zon 19 yang berakhir hujung tahun, beliau menerangkan beberapa projek bakal dijalankan di kawasan itu dalam masa terdekat termasuklah menaik taraf padang permainan kanak-kanak sedia ada, pemotongan pokok-pokok bagi mencantikkan persekitaran dan mengatasi masalah sampah serta kebersihan.

Majlis Sambutan Hari Malaysia anjuran JKP MPSJ Zon 19 bagi pangsapuri angkatnya ini diserikan dengan acara pertandingan dam ular gergasi untuk kategori kumpulan dan keluarga, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Majlis yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh meriah diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku dan Malaysiaku berserta kibaran bendera Jalur Gemilang. 

Orang ramai yang hadir terutama kanak-kanak teruja dengan suasana ini dan sama-sama menyanyikan kedua-dua lagu berkenaan.

Remaja ini mampu meraih hadiah dalam acara Cabutan Bertuah sempena Sambutan Hari Malaysia di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.


Kanak kanak merupakan antara kelompok penyumbang kemeriahan sambutan Hari Merdeka anjuran JKP MPSJ Zon 19 di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada Ahad malam yang lalu. 

0
0
0
0
0

Copy Link: