MAKANLAH SECARA PERCUMA JIKA TAK MAMPU!!
Published byUSAHA murni seorang peniaga di Restoran Dapur Infaq Ummah di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang mendapat pujian dan sokongan para pelanggannya. : KitaReporters.com
Badrul Jamili Kamaruddin, 45, menerapkan konsep sedekah dalam perniagaannya apabila tidak mengenakan sebarang bayaran.
Pelanggan yang menikmati hidangan minum pagi di premisnya boleh membayar seikhlas hati dengan memasukkan duit ke dalam tabung yang disediakan.
Pilihlah apa sahaja, makan sekenyang-kenyangnya dan jika tidak mampu bayar akan dianggap sedekah.
Pendekatan itu dilaksanakan oleh Badrul sejak tiga bulan lalu dengan niat membantu mereka yang kurang berkemampuan seperti pelajar dan golongan asnaf di sekitar kawasan ini.
"Konsep yang dibuat ini bukanlah hendak mencari keuntungan yang besar tetapi untuk membantu masyarakat.
"Saya tidak bimbang rugi kerana yakin Allah akan bayar keuntungan itu kerana niat asal adalah untuk berniaga sambil membuat pahala," katanya.
Perniagaan beliau beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula pada pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Menu yang disediakan di restorannya ialah roti tempayan kuah kambing, kari ayam, nasi lemak, pulut, mihun dan pelbagai kuih lain.
"Pelanggan adalah tetamu yang membawa keberkatan dalam perniagaan.
“Cara ini juga akan memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk makan dan boleh membuat bayaran mengikut kemampuan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Badrul memberitahu, wang sumbangan yang diterima di dalam tabung yang disediakan dikumpul dan akan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan melalui pelbagai cara termasuk menganjurkan program bersama asnaf dan gelandangan dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pada setiap minggu. - KitaReporters.com