WANITA NYARIS MAUT, LEKA MAIN TELEFON!!

Published by
KitaReporters
Fenomena terlalu leka melayani dan melayari telefon pintar kini bukanlah perkara asing lagi. 
Rata-rata masyarakat hari ini menganggap telefon sebagai 'rakan karib'. Keseronokan itu dikatakan sudah mencapai tahap ketagihan.


Kebergantungan manusia kepada gajet digital yang pada awalnya hanya sebuah alat untuk manusia saling berhubungan itu kini mula bertukar berikutan begitu canggih dan mempunyai pelbagai fungsi.

Terbaharu, seorang wanita nyaris maut selepas terlalu leka dengan telefon bimbitnya.

Kejadian pada 30 Oktober lalu berlaku ketika wanita berkenaan sedang menunggu tren sambil leka dengan telefon bimbitnya di stesen kereta api Estrecho, Madrid di Sepanyol. 

Menerusi rakaman CCTV, wanita berkenaan dilihat berdiri bersama dengan penumpang yang lain bagi menunggu ketibaan tren sambil leka bermain telefon bimbitnya.

Mungkin juga terlalu fokus dengan telefon bimbit di tangannya, wanita berkenaan menyangka tren yang tiba di hadapannya adalah yang ditunggu sedangkan tren tersebut datang dari arah bertentangan.

Rakaman kira-kira 24 saat yang dikongsi @rtenews mula ditular dan ditonton 34,800 pengikut di Twitter itu menunjukkan wanita malang berkenaan menyangka kereta api di ruang tempat dia menunggu telah tiba menyebabkan dia terus berjalan ke arah tersebut.

Tindakan tersebut menyebabkan dia terus terjunam jatuh ke atas landasan berkenaan.

Bagaimanapun dia masih bernasib baik kerana pemandu tren tersebut sempat menekan brek dan wanita berkenaan hanya mengalami luka kecil.

Berkemungkinan, wanita berkenaan menganggap bahawa kereta api yang berhenti itu adalah di bahagian ruang tempatnya menunggu.

Sementara itu, jurucakap agensi yang mengendalikan rangkaian tren itu berkata, penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, rakaman itu perlu dikongsi untuk meningkatkan kesedaran penumpang di landasan kereta api.


7
2
0
0
0

Copy Link: