KISAH SUKA DUKA PERJALANAN HIDUP SEORANG WARTAWAN
Published byDari sebuah desa... Berbekal mata pena... Datang ke ibu kota... Dengan penuh harapan... Menjadi seorang wartawan...
Meskipun kau tersenyum... Namun orang pun tahu... Apa isi hatimu... Tatkala kau lagukan...
Lagumu lagu sedih... Perjalanan hidupmu... Ditinggal kekasihmu... Ditinggal kekasihmu...
Tajuddin Saman menerima lawatan daripada pelajar-pelajar dari Penulisan Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Lirik lagu di atas asalnya adalah bait lagu Kisah Seorang Biduan nyanyian Allahyarham Datuk Mohd Dahlan Zainuddin yang diubah bagi menceritakan kesusahan seorang pengkarya terkenal yang dikongsi bersama penulis Kitareporters selepas diserang penyakit strok sejak lapan tahun lalu.
Cuaca petang ini agak redup dan awan juga kelihatan sedikit gelap sebagai menandakan hujan akan turun di sebelah petang seolah-olah mengiringi perjalanan saya untuk bertemu seorang sahabat yang mengalami sakit berpanjangan.
Sebaik kaki melangkah memasuki pekarangan rumah dua tingkat di Presint 9 Putrajaya baru-baru ini kehadiran saya disambut mesra dengan ucapan 'salam' daripada seorang wanita yang bunyi percakapannya berasal dari Utara Semenanjung.
Wanita berwajah tenang separuh abad itu mempersilakan saya masuk dan memperkenalkan diri sebagai Rahmah Ibrahim, 61, isteri kepada penerima hadiah kewartawanan Anugerah Kajai 1990, Tajuddin Saman, 70, yang ingin saya lawat dan kenali dengan lebih dekat.
Tatkala melangkah masuk ke ruang tamu rumah itu kelihatan sekujur tubuh seorang lelaki yang kelihatan agak kurus sedang terbaring di atas sebuah katil khas dan menyambut kehadiran saya dengan senyuman tanpa kata-kata.
Biarpun tanpa komunikasi, namun daripada riak wajah dan isyarat anak matanya, saya merasakan beliau merasa gembira dengan kehadiran saya walaupun sebelum ini kami tidak pernah berjumpa dan berkenal mesra.
Tajuddin yang berasal dari sebuah kampung di Kodiang, Kedah adalah seorang bekas wartawan Berita Harian (BH) yang terlantar sakit sejak kira-kira lapan tahun lalu kerana serangan angin ahmar.
Mengimbau pencapaian beliau, Tajuddin pernah menghasilkan dua buah buku berjudul 'Dari Kodiang ke Jalan Riong' yang mengisahkan tentang kerjayanya sebagai seorang wartawan dan sebuah buku lagi, 'Mengejar Pelangi'.
Selain itu, beliau juga pernah menjadi setiausaha akhbar bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin; serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.
Tajuddin Saman (tiga dari kiri) ketika menerima anugerah Kewartawanan Kajai pada 1990.
Sepanjang pertemuan itu, Rahmah yang juga berasal dari Negeri Jelapang Padi itu banyak menceritakan mengenai suaminya dengan loghat utara dan saya juga boleh memahaminya kerana isteri saya juga berasal dari Kuala Kedah dan beliau banyak mengajar bahasa pertuturan itu ketika di rumah.
Rahmah berkata, sejak kebelakang ini kesihatan suaminya semakin merosot dan pada awal September lalu, Tajuddin dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah jantung.
Menurut beliau, suaminya hanya mengambil pemakanan susu khas setiap tiga jam yang dimasukkan melalui tiub dan sejak dimasukkan ke hospital jumlah pengambilan susu dikurangkan sedikit bagi mengawal masalah kesihatan dialami selepas menerima nasihat doktor.
Katanya, Tajuddin hanya mengambil susu khas yang dibeli dari farmasi pada harga antara RM70 hingga RM80 setin yang boleh bertahan antara lima hingga tujuh hari dan selepas pengurangan itu, ia mampu bertahan hingga lapan ke sepuluh hari.
"Suami mengalami penyakit angin ahmar itu sejak 2012 dan selepas itu, beliau hanya terbaring di atas katil dan segala urusan diri seperti makan, minum, serta kebersihan diri perlu diuruskan oleh saya selain dibantu anak cucu.
"Beberapa tahun sebelum ini, Tajuddin mampu bangun dan duduk sendiri, sekali sekala kami letakkan beliau di kerusi roda untuk dibawa bersiar-siar bagi menghilangkan rasa bosan dirinya dengan melihat suasana di luar.
"Sekarang beliau sudah tidak mampu melakukan perkara itu kerana penyakit yang dialaminya sudah berpanjangan dan merasa kesakitan sekiranya banyak melakukan pergeraan.
"Sekali sekala ada juga saudara mara, jiran dan sahabat lama datang menziarahi beliau, di samping menitipkan doa agar diberi kesembuhan termasuk bermurah hati menghulurkan bantuan kewangan bagi perubatan.
"Kami sekeluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kerana banyak membantu dan menghulurkan bantuan semenjak 2016 sehingga sekarang bagi membeli susu khas berkenaan," katanya mengakhiri perbualan.