MISI HAZE, ARDELL: PELARIAN SYRIA KESEJUKAN
Published byDUA selebriti terkenal Hazeman Huzir dan pelakon Nurul Hidayah Mohd Amin dikenali sebagai Ardell Aryana dilantik sebagai ikon misi kemanusiaan musim sejuk ke Syria pada bulan Januari depan. : KitaReporters.com
Pelantikan dua selebriti itu diumumkan Yayasan Tabung Kebajikan Islam Malaysia (YDKMM) dalam satu majlis baru-baru ini bertujuan membantu yayasan mengumpul dana berjumlah RM500,000 untuk disalurkan kepada pelarian Syria pada musim sejuk.
Ketua Operasi dan bencana YDKMM, Mohammad Farizzal Rostam berkata kedua-dua selebriti itu mempunyai peminat tersendiri dalam media sosial dan berharap aktiviti kemasyarakatan itu menjadi ikutan kepada mereka.
Menurut beliau, selain dua selebriti itu, sebanyak sembilan orang peserta terbabit menyertai misi itu yang akan diadakan selama dua minggu bermula 8 Januari tahun depan.
Katanya, pembabitan dua selebriti itu sangat bermakna kerana mereka juga boleh mengembangkan pengaruh yang baik dalam kalangan peminat bagi menyertai program kebajikan itu.
"Bantuan itu akan diedarkan kepada pelarian dalam bentuk bakul makanan serta pakaian musim sejuk yang akan disampaikan dalam satu pakej, yang mana asas itu digambarkan sebagai "Box of Hapiness".
"Program diadakan itu adalah bagi menghadapi musim sejuk dan mengelak berlakunya "hipotermia" kepada pelarian melalui sumbangan kewangan mahupun baju sejuk yang diperoleh dari kedai pakaian terpakai.
"Misi itu akan dibantu oleh Hayrat Yardimm, yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Turki dan mempunyai pengalaman luas dalam kerja amal membantu pelarian di Syria."
"Selain mengadakan prosedur operasi standard (SOP), YDKMM akan berkerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Turki bagi memastikan keselamatan peserta dan kejayaan misi ini.
"Peserta yang terbabit juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan dua minggu sebelum bertolak ke Syaria bagi memastikan kesihatan mereka pada tahap yang baik," katanya.
Majlis pelancaran ikon misi kemanusian itu turut dihadiri pegawai perhubungan awam antarabangsa YDKMM, Siti Nabihah Zakaria.
Kumpulan ini akan memulakan misi bermula 8 Januari selama dua minggu dengan memberi dana dalam bentuk makanan dan pakaian di sekitar Azaz, Syria serta sempadan Turki di Kilis dan Sanliurfa.
Misi kemanusiaan Syria ini adalah kali kedua diadakan YDKMM dan menyasarkan membawa dua kontena barangan keperluan musim sejuk dan bekalan makanan.
Sebelum ini, YDKMM pernah mengadakan misi kemanusian melalui bantuan tsunami di Palu, Indonesia; bantuan kepada mangsa yang terkorban di Christchurch, New Zealand; dan bantuan kewangan dalam kes pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor Bahru.
Hazeman yang dikenali sebagai Haze dalam kalangan pengikutnya media sosial sering berkongsi perjalanan rohani yang mengubah hidupnya termasuk karya-karyanya bersama 'Food For Hunger Organization'.
Menurut Hazeman, beliau berbangga dipilih sebagai ikon kemanusian YDKMM ke Syria dan akan membantu yayasan menyebarkan maklumat dan mengumpul dana termasuk menyampaikan ceramah berkaitan isu itu kepada pelajar di universiti.
Katanya,n beliau akan melakukan yang terbaik untuk berkongsi maklumat bersama pengikutnya dalam media sosial mengenai aktiviti disertai itu melalui akaun Instagram dan saluran YouTube.
"Saya berharap melalui perkongsian itu nanti dapat membuka banyak mata masyarakat luar tentang kesusahan dan konflik yang melanda rakyat di Syria.
"Misi itu akan menjadi pengalaman baharu bagi diri saya dan juga pengikut dalam laman sosial, di samping memberi kesedaran kepada orang ramai bagi menghargai keamanan," katanya.
Program ceramah dan kesedaran misi pelarian disertai Hazeman itu dijangka diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 3 Disember ini.
Bagi yang ingin menyumbang boleh melayari laman web ydkmm.com.my atau menghubungi pegawai YDKMM Cik Fatimah melalui talian +6018-880026 bagi mendapatkan keterangan lanjut. - KitaReporters.com