MENJADI permata matlamat semua pelajar. Namun dipilih menjadi berlian dalam kalangan permata pada Majlis Konvensyen Ke-4  Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) pastinya 'tak ternilai' harganya bagi seorang graduan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) beramah mesra bersama penerima Anugerah Berlian Ijazah KUPTM, Siti Nurul Nadiya Othman (dua dari kiri) dan penerima Anugerah Berlian Diploma, Hasanal Daniel Ismail Jamaludin graduan Sains Komputer (kiri) pada Majlis Konvensyen Ke-4  Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) di Putrajaya, Isnin (7 Okt 2019) lalu.


Baru-baru ini, graduan jurusan Komunikasi dan Korporat, Siti Nurul Nadiya Othman dipilih menerima Anugerah Berlian Ijazah KUPTM.

Nurul Nadiya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik berasal dari Rengit, Batu Pahat ,Johor yang  aktif dalam bidang debat dan pidato turut cemerlang dalam pelajaran sebagai penerima Anugerah Dekan pada setiap semester. 


Penerima Anugerah Berlian Ijazah KUPTM, graduan jurusan Komunikasi dan Korporat, Siti Nurul Nadiya Othman bersama ibu bapa, Zaiton Hassan dan Othman Ahmad yang kedua-duanya pesara guru di Rengit, Batu Pahat, Johor.


Sementara itu, Anugerah Berlian Diploma diterima oleh Hasanal Daniel Ismail Jamaludin graduan Sains Komputer berasal dari Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Selain menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Seisi 2018/2019, anak sulung dari empat beradik itu turut  tersenarai sebagai Anugerah Dekan pada setiap semester.

Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), yang merupakan institusi pengajian tinggi milik Majlis Amanah Rakyat (MARA), telah  berjaya menghasilkan seramai 55,913 graduan dari seluruh negara semenjak penubuhannya.

KPTM yang nama asalnya, Kolej Yayasan Pelajaran MARA ditukar nama secara rasmi pada 1 September 2003 dan mempunyai  sembilan buah cawangan yang mengendalikan sebanyak 75 program secara sepenuh masa. 

Lapan kampus KPTM terdiri dari cawangan Kuantan (Pahang), Bangi (Selangor), Kota Bharu (Kelantan), Alor Star (Kedah), Ipoh (Perak), Batu Pahat (Johor), Semporna (Sabah), KESEDAR Gua Musang (Kelantan), manakala sebuah Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) cawangan Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata dari jumlah itu, KPTM berjaya menghasilkan kebolehpasaran graduan sebanyak 75 peratus, berdasarkan Laporan Sistem Pengesan Graduan KPTM 2018/2019.

Rina berkata, ia membabitkan 45 peratus bekerja, 28 peratus menyambung pengajian ke peringkat tinggi, manakala dua peratus lagi menceburi bidang keusahawanan.

Menurut beliau, sejak KPTM dan KUPTM Kuala Lumpur dinaik taraf kepada kolej dan kolej universiti pada 2015, kedua-dua institusi itu menawarkan bidang pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana selain program diploma sedia ada.

"Pada masa ini, kita sedang dalam proses mendaftar KUPTM sebagai universiti penuh yang dijangka dapat dilaksanakan pada Oktober tahun depan.

"Dari segi kemajuan, KUPTM  sudah berada pada tahap 80 peratus untuk mencapai status tersebut berdasarkan perkembangan dalam akademik, penyelidikan serta program yang ditawarkann," katanya sewaktu menghadiri Majlis Konvensyen Ke-4 KUPTM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Majlis konvoksyen  yang  berlangsung itu turut menyaksikan seramai 1,340 graduan KUPTM menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana masing-masing, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan graduan dihasilkan oleh KUPTM seramai 5,062 sejak konvoksyen pertama pada 2015.

Majlis yang berlangsung bermula 5 hingga 7 Oktober itu turut menyaksikan seramai 5,279 graduan KPTM menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda , Ijazah Sarjana dan sijil profesional pada Majlis Konvokesyen Ke-36 KPTM.

Selain itu, buat julung kalinya, KUPTM  turut menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan kepada tiga orang pelajar antarabangsa dari Nigeria.

Bersempena majlis itu, KUPTM turut meraikan seramai 103 graduan KPTM yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai bidang terdiri perakaunan, pengurusan dan pelancongan, perniagaan, sumber manusia, sains komputer, bahasa Inggeris dan linguistik, serta perhubungan awam.

Daripada jumlah itu, seramai sembilan graduan KPTM menerima tawaran yang sebahagiannya telah berangkat ke luar negara pada September lalu melalui tajaan MARA, manakala selebihnya akan berangkat pada Februari tahun depan. 

Antara universiti yang ditawarkan kepada pelajar terdiri dari negara  Australia, New Zealand dan United Kingdom.

9
0
0
0
1

Copy Link: