DAPATKAN KEBENARAN DULU, SEBELUM MOHON DANA YB

Published by
KitaReporters
DAPATKAN kebenaran atau kelulusan pihak bertanggungjawab terlebih dahulu ke atas mana-mana kawasan bakal dibangunkan sebagai pusat komuniti atau gelanggang sukan sebelum memohon peruntukan daripada kerajaan.

Dr. Siti Mariah diberi penerangan oleh Pengerusi JMB, Mohd Razali Sayuti mengenai Taman Permainan Kanak-kanak di mana kelulusannya melalui sokongan pejabat ADUN Seri Serdang.


Langkah ini perlu bagi mengelakkan suatu yang tidak diingini berlaku ke atas projek-projek berkenaan bila siap nanti berikutan tidak mematuhi prosedur atau syarat yang ditetapkan.

Selain itu,untuk mengelakkan pembaziran peruntukan dana yang disalurkan kerajaan di mana matlamat asalnya untuk kepentingan masyarakat

Exco Kerajaan Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud membuat cadangan ini berikutan terdapat banyak projek pembangunan membina pusat komuniti seperti dewan, tadika, gelanggang sukan dan sebagainya yang tidak mematuhi syarat semasa kerajaan terdahulu.

Dr. Siti Mariah bertanyakan sesuatu mengenai keadaan di Seksyen 7 Lestari Perdana pada lawatan singkat beliau.


Hal ini dinyatakan semasa lawatan singkat beliau bersama rombongan petugas pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang ke Sekyen 7 Lestari Perdana (LP7) bagi meninjau perkembangan semasa di taman kediaman berkenaan.

Sehubungan dengan itu, katanya mana-mana pertubuhan sukarela, NGO dan institusi-institusi komuniti lain di negeri ini yang ingin memajukan suatu kawasan dengan projek pembangunan seperti membina pusat kegiatan komuniti atau gelanggang sukan hendaklah memastikan memperolehi kebenaran daripada pihak yang bertanggungjawab ke atas kawasan berkenaan.

Satelah memperolehi kebenaran bertulis, katanya barulah ahli jawatankuasa badan-badan berkenaan sepatutnya  boleh memohon dana sama ada melalui peruntukan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengerusi Persatuan Penduduk LP7, Hairi Eberahim (dua dari kanan) memberikan penerangan mengenai keadaan di taman perumahan itu kepada Dr. Siti Mariah.


Tindakan sebegini perlu dilakukan kerana semasa kerajaan terdahulu banyak melakukan kesilapan membina pusat komuniti, gelanggang sukan atau riadah, tadika dan lain-lain di atas tapak yang tidak diberi kebenaran.

Akibatnya banyak masalah berbangkit timbul bila mana projek yang dibangunkan siap kerana tidak mematuhi piawaian semasa tanpa kebenaran daripada pihak yang mentadbir kawasan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri sedang dalam proses menyelesaikan masalah berbangkit  supaya tidak menimbulkan rungutan dan keluhan penduduk.

Malahan Ketua Audit Negara telah membuat teguran mengenai perkara ini dan meminta diselesaikan segera.

Dalam lawatan singkat ini, Dr. Siti Mariah dan beberapa orang pegawainya sempat bergambar kenangan bersama sebahagian penduduk LP7.


Berikutan keadaan ini, kerajaan terpaksa mengambil langkah mengenakan syarat agak ketat supaya tidak lagi berlaku seperti semasa kerajaan terdahulu.

Malahan bagi tujuan ini, setiap kawasan di bawah kendalian Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) perlu mendapatkan kelulusan atau kebenaran bertulis daripada agensi berkenaan, manakala di kawasan pentadbiran Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu mendapatkan kebenaran badan berkenaan terlebih dahulu sebelum pembinaan dijalankan.

Beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang ini dalam lawatan tersebut juga menasihatkan pihak JMB sentiasa menjaga kebersihan kawasan untuk tujuan keselesan penduduk selain menghindarkan pelbagai jenis penyakit. 

Mengenai taman permainan kanak-kanak yang baru dibina di LP7, Dr Mariah berharap dapat dijaga dan diurus  dengan baik.

Pada lawatan itu, beliau sempat beramah mesra dengn beberapa orang penduduk  sambil bertanyakan pelbagai masalah.

Terdahulu, semasa meninjau sekumpulan penduduk yang menjalankan aktiviti pertandingan badminton di Dewan Serbaguna Taman Seri Indah, Dr. Siti Mariah menasihatkan  mereka meneruskan kegiatan berkenaan yang penting untuk kesihatan diri.

Katanya, untuk mohon dana bagi aktiviti sukan perlulah dibuat pada awal tahun melalui saluran sama ada gunakan dana peruntukan Ahli Parlimen, Ahli Majlis MPSJ dan ADUN Seri Serdang. Jika lambat peruntukan bantuan terpaksa dibawa ke tahun depan.

1
0
0
0
0

Copy Link: