NAK MINUM AIR BERBAU? PENGGUNA NAK PESALAH DISEBAT
Published byWALAUPUN Syarikat Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memberikan jaminan air yang dibekalkan Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih selamat mengikut piawaian air Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi masalah bau dan rasa kurang selesa menjadi keluhan pengguna.
Bekalan air dari Sungai Semenyih tercemar baru-baru ini berpunca tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab .
Masalah ini terjadi berikutan penutupan sementara LRA Sungai Semenyih pada minggu lepas (28/9/2019) berpunca daripada pencemaran air yang serius di sungai berkenaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Selesai penutupan dan bekalan disambung semula, air yang dinikmati pengguna didapati berbau dan menimbulkan rasa kurang meyenangkan hingga terpaksa diadukan kepada Air Selangor.
Hasil penyiasatan dan uji kaji yang dijalankan oleh Air Selangor, walaupun keadaan jisimnya berbau dan rasa kurang menyenangkan tetapi selamat digunakan.
Sehubungan itu, jurucakapnya menasihatkan pengguna yang terlibat tidak perlu bimbang kerana air tetap selamat dan pencemaran bau yang terjadi akan beransur-ansur kembali pulih seperti sediakala, lebih-lebih lagi sekarang musim hujan.
Minggu lepas penutupan sementara LRA Semenyih yang berpunca daripada pencemaran serius pada bekalan air mentah telah mengakibatkan 377,141 pengguna berdaftar dari 512 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat di Selangor terjejas bekalan air tidak berjadual, sementara ada juga yang terpaksa mengalami tekanan air yang rendah.
Petugas daripada Air Selangor mengambil sampel air untuk dibuat ujian berikutan aduan pengguna bekalan air berbau dan rasa kurang menyenangkan.
Bagaimanapun setelah keadaan pulih, air yang dibekalkan didapati berbau dan kurang selesa sehingga menimbulkan keraguan pengguna tentang kualitinya.
Memandangkan kejadian pencemaran Sungai Semenyih kerap berlaku dan ia membebankan ramai pengguna, tindakan lebih tegas dan setimpal perlu diambil terhadap para pelaku yang menjadi punca utama pencemaran air di sungai berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman semasa dengan mengenakan denda RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali perlu dikaji dan diberikan nllai tambah untuk hukuman setimpal ke atas pelaku berkenaan.
Kajian semula dengan menitik berat aspek-aspek tertentu dalam memberikan hukuman lebih wajar dan bersesuian terhadap pelaku dan mereka yang bersubahat, termasuk memikirkan hukuman sebat atau yang lebih setimpal perlu dilakukan.
Inisiatif penambahbaikan akta, yang kini dianggap sudah kurang sesuai, perlu dilakukan dalam usaha memberikan hukuman yang benar-benar setimpal.
Baru-baru ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar mengeluarkan kenyataan bahawa kementeriannya merancang untuk mengkaji semula akta tersebut bagi melihat dan meneliti kemungkinan terma-terma sediaa ada diubah serta dipertingkatkan.
Melalui inisiatif tersebut kemungkinan kajian mengenaikan hukuman lebih berat dan tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang melakukan pencemaran termasuklah alam sekitar, bekalan air dan pelbagai lagi yang mempunyai kaitan dengan air sebagai sumber mentah bagi kegunaan ramai.
Logi Rawatan Air Sungai Semenyih membekalkan air bersih kepada para penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Susulan masalah pencemaran yang melibatkan beberapa kes hingga berlaku gangguan bekalan air, beliau menyatakan hukuman sedia ada sudah tidak mencukupi dan perlu kajian semula.
Bagaimanapun, untuk memperbaiki dan meningkatkan akta berkenaan, ia akan mengambil masa dan kemungkinan boleh dilakukan pada tahun depan.
Setelah proses berjalan lancar barulah, undang-undang yang ditambah baik itu boleh dibentang di Parlimen.
Untuk tujuan ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) diarah membuat siasatan dan penguatkuasaan lebih menyeluruh.
Dalam konteks ini juga, perancangan melibatkan sektor swasta dalam industri air negara sedang difikirkan bagi membolehkan kombinasi bersama antara kerajaan dengan swasta boleh membawa masuk dana bagi meningkatkan industri air negara.
Hasil siasatan Unit Pasukan Pemantau Sungai Air Selangor (PASKAL) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), didapati masalah pencemaran yang berlaku baru-baru ini berpunca daripada Logi Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota.
Insiden pencemaran air bersih ini merupakan kali yang keempat dan diharap tidak akan berulang dan dibendung sepenuhnya oleh pihak yang bertanggungjawab, di samping orang ramai sebagai ejen pemerhati dan pelapor jika ada yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran di sungai berkenaan.
Dalam kes air berbau ini, pihak Air Selangor menerima sejumlah 952 aduan dan 842 kes telah diselesaikan. Ini berdasarkan ujian persampelan di tapak air yang dibekalkan selamat digunakan.
Selain itu, pemantauan dan tindakan berterusan akan dilakukan sehingga semua aduan air berbau selesai.
Antara kawasan di mana aduan air berbau telah diterima termasuklah di Daerah Petaling merangkumi Puchong Intan, Puchong Perdana, Puchong Prima, Puchong Utama, Saujana Puchong dan Seri Kembangan.
Di Daerah Sepang merangkumi kawasan Aman Putra, Bukit Puchong, Kota Warisan, Putra Impian, Putra Perdana, Putrajaya Presint 11, Salak Tinggi, Taman Intan Baiduri dan Taman Mawar, serta Bandar Baru Salak Tinggi.
Di Daerah Hulu Langat, aduan meliputi Seksyen 3, 4, 5, 7 dan 9 di kawasan Bangi, manakala Saujana Putra di Daerah Kuala Langat dan USJ 3, 5, 6 dan 16.
Air Selangor mengambil perhatian serius terhadap isu ini dan meminta para pelanggan menghubungi talian 15300 atau WhatsApp nombor 019-2800919/019-2816793 jika menghadapi masalah bekalan air berbau.