SEBAGAI tanda prihatian, Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Islamic Relief Somalia (IRS) mengadakan kempen Dana Wakaf Air Somalia (DWAS) 2.0 yang dilancarkan pada bulan Mei lalu.


Program itu adalah kesinambungan kejayaan DWAS 1.0 yang diadakan di dua wilayah daerah di Balcad, Shabelle Tengah, Somalia pada 2018.

Projek DWAS itu bertujuan menangani masalah kesukaran mendapatkan sumber air bersih dan ditambah dengan kemarau berpanjangan yang menjadi realiti dan dihadapi penduduk Somalia sejak empat dekad lalu. 

Kira-kira 6.5 juta penduduk Somalia melalui situasi kesukaran itu sehingga memaksa 1.5 juta rakyatnya menjadi pelarian di negara sendiri.

Sebagai meneruskan usaha kutipan DWAS 2.0 itu IRM menganjurkan program Wash2Donate pada 19 Oktober lalu yang diadakan secara kerjasama dengan Go Clean Carwash dan Masjid Al Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Program Wash2Donate yang berlangsung di Masjid Al Hasanah itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai dan penduduk setempat untuk menderma sambil mencuci kenderaan.

Bercakap kepada KitaReporters, Pengarah Partner Care IRM, Kamarul Halim Sakrani berkata, program itu bukan sahaja untuk mengumpul dana semata-mata, sebaliknya bertujuan meningkat kesedaran orang ramai mengenai pergolakan dan kesengsaran dialami penduduk Somalia.

Kamarul Halim berkata, program Wash2Donate itu dilihat sebagai platform bagi menyampaikan mesej kemanusiaan secara lebih santai dan dekat dengan masyarakat.

Menurut beliau, RM1 dari setiap kenderaan yang dicuci di pusat cucian itu akan disumbangkan kepada kempen DWAS 2.0 bagi mencapai sasaran sebanyak RM3.3 juta.

Katanya, program amal itu dapat mewujudkan banyak jaringan kolaborasi dengan semua pihak dan ia telah bermula pada 5 September lalu dan akan berakhir pada penghujung bulan ini.

"Kempen DWAS 2.0 dilaksanakan itu bertujuan membantu menyediakan dua kompleks sumber air bersih dari bawah tanah kepada kira-kira 10 ribu penduduk di Wilayah Nugaal, Puntland.

"Pada masa ini, IRM telah berjaya mengumpul lebih RM1 juta dan projek pertama kompleks air itu akan dimulakan dalam masa terdekat dan menjangkakan jumlah kutipan RM3.3 juta itu berjaya dilaksanakan menjelang Ramadan tahun depan.

"Bagi DWAS 1.0, IRM berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1.9 juta untuk membina dua buah telaga air bagi kegunaan kira-kira 60,000 pengguna di dua buah kawasan iaitu di Maqar Arays dan Waberi Star.

"Projek DWAS 2.0 diadakan ini adalah selepas melihat kesukaran dilalui penduduk dalam meneruskan kelangsungan hidup ekoran kehilangan sumber air yang menjadi nadi kepada kehidupan," katanya.

Kamarul Halim menjelaskan, kos pembinaan DWAS 2.0 itu berbeza dengan DWAS 1.0 kerana projek kali ini memerlukan jarak kira-kira 200 meter pengalian berbanding sebelum ini dengan jarak kira-kira 100 meter bagi mendapatkan sumber air.

Katanya, kompleks air itu akan dibahagikan kepada dua saluran iaitu bagi kegunaan penduduk dan satu bahagian lagi untuk tanaman ladang dan binatang ternakan.

Program Wash2Donate itu turut dimeriahkan dengan jualan 'car boot sale' dan forum Bicara Kemanusiaan yang membawakan topik 'Hikmah Setitis Air'.

Dua panel jemputan membicarakan topik berkenaan terdiri dari penceramah terkenal Ustaz Fauwaz Fadzil Noor dan Ikon Kemanusian IRM, Elfaeza Ul Haq, manakala Suffian Amrin dari Kumpulan Saujana yang juga penyampai radio Institut Kefahaman Islam (IKIM) bertindak selaku moderator.

Pada akhir program, Go Clean Carwash menyampaikan sumbangan kutipan berjumlah RM2,000 melalui wakilnya kepada Kamarul Halim dan turut dihadiri Nazir Masjid Al Hasanah, Mohd Safian Abdul Rahman.

6
1
0
0
0

Copy Link: