TERBAIKLAH IRM! BERUSAHA CERIAKAN PELAJAR

Published by
KitaReporters
SERAMAI 117 pelajar India dari SJK (T) Ladang Air Hitam, Jempol; dan SJK (T) Ladang Pertang, Pertang serta SJK (T) Ladang Juasseh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan teruja dan gembira setelah dibawa membeli kelengkapan persekolahan di Pasaraya Billion, Bahau menerusi program “Cheer to School (CTS) 2019” anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) pada 13/11/2019 yang lalu. : KitaReporters.com

Kakitangan Islamic Relief Malaysia sedang memilih pakaian seragam sekolah bersama pelajar SJK (T) Ladang Ayer Hitam, Jempol, Negeri Sembilan.


IRM dalam satu kenyataan media menyebut, objektif program tahunan ini bagi membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, stoking, beg dan alat tulis.

Selain itu, program tersebut juga mahu menyuntik semangat para pelajar untuk menimba ilmu dengan lebih bersemangat.

Kebanyakan pelajar yang menerima bantuan ini terdiri daripada anak-anak penoreh getah atau pekerja sambilan yang kurang berkemampuan di mana kebiasaannya, mereka akan mengulang pakai pakaian ahli keluarga mereka atau pakaian yang telah lusuh dan koyak.

Chitra A/P Joseph, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SJK (T) Ladang Pertang berkata: “Kami benar-benar rasa terharu kerana pelajar sekolah kami terpilih untuk menerima bantuan ini. 

"Layanan kakitangan dan sukarelawan Islamic Relief Malaysia dalam menyantuni para pelajar dengan cara membawa dan memberi peluang kepada para pelajar untuk memilih keperluan persekolahan yang mereka sukai membuat hati saya rasa tersentuh.

“Kalian telah menunjukkan sikap terbaik sebagai rakyat Malaysia yang membantu semua golongan secara sama rata tanpa mengira perbezaaan agama dan bangsa. 

"Pemberian ini benar-benar sangat bermakna untuk anak-anak dan kami semua.”

Kakitangan Islamic Relief Malaysia bersama pelajar SJK (T) Perhentian Tinggi, Sungai Gadut, Negeri Sembilan.


Menurut kenyataan itu lagi, program “Cheer to School” menggunakan dua konsep berbeza dalam menyantuni penerima manfaat mengikut situasi dan lokasi sama ada dengan memberi peluang kepada para pelajar memilih sendiri barangan keperluan persekolahan di pasar raya berhampiran atau dengan membawa barangan sumbangan ke lokasi mereka.

"Cheer to School adalah medium jaringan kolaborasi yang sangat strategik dalam menggabungkan pelbagai pihak seperti komuniti, sekolah, penerima manfaat, kakitangan dan sukarelawan IRM.

"Ia turut menggabungkan rakan-rakan penaja iaitu Maybank Islamic Berhad, Yayasan Kebajikan Negara dan Etiqa General Takaful Berhad dalam satu program,” kata Noor Halimahton Sa’adiah Talib, Programme Specialist Bahagian Program Domestik IRM, dalam kenyataan media tersebut.

Antara sekolah lain yang turut menerima manfaat dalam program “Cheer to School” tahun ini ialah Sekolah Kebangsaan Pangi, Tenom, Sabah; dan Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru, Johor.

SMK Penarik, Setiu, Terengganu; dan Sekolah Kebangsaan Mangkok, Terengganu; SMK dan SK Kajang Utama, Selangor; SMK dan SK Bandar Baru Bangi, Selangor; dan SJK (T) Perhentian Tinggi, Sg Gadut, Negeri Sembilan.

SMK Desa Wawasan, Tambunan, Sabah; SK Malubang, Pitas, Sabah; SMK Pekan, Kota Belud, Sabah; dan SMK Ulu Sugut, Ranau, Sabah.

SK Kampung Alit, Saratok, Sarawak; Sekolah Kebangsaan Haji Junid, Gerigat, Sarawak; dan SK Tanjung Bundung, Meradong, Sarawak.

Jumlah keseluruhan pelajar yang dibantu ialah seramai 645 orang. - KitaReporters.com

Seramai 117 pelajar SJK (T) Ladang Air Hitam, Jempol; serta SJK (T) Ladang Pertang, Pertang dan SJK (T) Ladang Juasseh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan gembira setelah selesai membeli barangan keperluan persekolahan di Pasaraya Billion, Bahau, Negeri Sembilan dibantu oleh kakitangan dan sukarelawan Islamic Relief Malaysia, kakitangan pasar raya dan guru-guru mereka. 

3
0
0
0
0

Copy Link: