LANGKAH Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM4.5 juta untuk Anjung Singgah yang akan  dimanfaatkan  oleh 7,000 gelandangan melalui pembentangan Bajet 2020 baru-baru ini membuktikan Kerajaan prihatian kepada golongan berkenaan. 

Namun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang melemparkan persepsi buruk terhadap golongan itu yang dilabel sebagai malas bekerja, pengotor dan sampah masyarakat.

Bahkan, golongan ini juga kerap kali dicemuh sebagai komuniti yang membebankan Kerajaan serta mencemarkan pemandangan ibu kota kepada pelancong luar.

Sebagai masyarakat yang prihatian dan bertanggungjawab, ada baiknya sekiranya kita merenung sejenak dan menyelami apakah punca sebenar menyebabkan golongan ini merempat di kaki lima dan di bawah jambatan serta mengharapkan ihsan dan bantuan orang ramai?

Bagi sekumpulan mahasiswa, kesibukan menghadapi pelajaran di kampus tidak menghalang mereka untuk menyantuni dan menimba pengalaman bersama golongan ini di ibu kota Kuala Lumpur,baru-baru ini.

Kumpulan seramai 216 sukarelawan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Youth of Strength & Happiness (YOSH) melaksanakan tanggungjawab sosial itu dengan kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).

Walaupun sebahagian besarnya julung kali menyertai program itu, namun berbekalkan semangat tinggi dan kerjasama berpasukan ianya dapat dilaksana dengan jaya.

Aktiviti bertujuan mendedahkan golongan belia kepada khidmat masyarakat itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Jantung Kesihatan Malaysia (Myheart) dan juga Food For Hunger Organisation (F4H). 

Program dinamakan 'Feed The Homeless' (FTH) diadakan itu bertujuan memupuk sikap bertanggungjawab dan mewujudkan rasa prihatian dalam kalangan belia tentang kepayahan dan kesusahan golongan yang memerlukan.

Sukarelawan yang menyertai program ini terdiri terdiri daripada Kolej Vokasional Slim River (Perak), Kolej Vokasional Shah Alam, Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta beberapa ahli profesional.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan terdiri dari Geng Plastik Hitam, Geng Ngaji, Geng Santun, Geng Jambatan dan Kumpulan Free Health Screening yang dianggotai mahasiswa dari jurusan perubatan yang memberi perkhidmatan percuma kepada gelandangan.

Sementara itu, peserta lain pula membantu mengedarkan makanan dan berkongsi masalah bersama gelandangan untuk direkodkan dan disalurkan kepada YDKMM bagi tindakan susulan.

Manakala Geng Plastik Hitam sibuk membersihkan kawasan sekitar ibu kota, pelajar yang pakar dalam bidang agama dan sesuai dipanggil ustaz dan ustazah pula ditugaskan bagi melaksanakan pembelajaran agama bersama kanak-kanak gelandangan.

Bukan hanya di kaki lima, gelandangan yang tinggal di bawah jambatan juga tidak terlepas pandang untuk disantuni Geng Jambatan yang disertai golongan muda ini.

Bagi seorang pelajar jurusan Sains dari Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PIUC), Muhammad Irfan Mohd Hadzrami, 19, beliau merasa bangga terpilih menyertai program itu kerana mendapat pengalaman baharu yang sangat berharga buat dirinya.

Beliau yang pertama kali menyertai program itu dan dilantik sebagai Ketua Pasukan berkata, aktiviti itu sebenarnya banyak membuka mata kepada peserta yang sebelum ini tidak mendapat pendedahan meluas berkenaan masalah dihadapi golongan berkenaan.

Irfan berkata, masyarakat luar perlu didedahkan bahawa kekangan hidup dan kesukaran mendapat pekerjaan membuatkan mereka terjerumus dalam situasi itu dan mengharapkan bantuan dan simpati dari orang ramai.

Sementara itu, bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia, Shahidah Othman, 24, berkata pada awalnya, beliau adalah antara salah seorang yang mengecam golongan gelandangan itu yang sering mengharapkan bantuan.

Shahidah berkata, namun tanggapannya meleset selepas menyertai aktiviti itu dan baharulah beliau tahu perkara sebenar serta bersedia untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai.

Menurut beliau, selain penduduk tempatan terdapat juga bangsa asing yang menghadapi masalah dan mengharapkan pembelaan serta tiada tempat perlindungan.

Beliau turut berharap agar aktiviti seperti itu dapat membuka mata lebih ramai pihak di luar dan badan bukan Kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program itu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

8
1
0
0
0

Copy Link: