BUDAYA HIDUP BERJIRAN KIAN LAYU DI BANDAR... BETUL KE?

Published by
KitaReporters
ASSALAMUALAIKUM dan selamat pagi. 

Kongsi minda bersih jiwa.


Renungan.

Pintu pun tak buka,

Macam mana nak kenal?

Jangan kata jiran tak penting

Anda kenal siapa jiran anda?

Jiran sepakat membawa berkat.

Relevankah lagi sekarang?

Jika di kampung ya..

Bagi mereka yang tinggal di bandar, budaya hidup berjiran semakin layu sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.

Ada sebahagiannya yang tidak mengenali jirannya secara dekat atau tidak mempedulikan mereka, atau juga sekadar bertegur sapa tanpa mengetahui asal usul jiran.

Sedihnya mereka dalam kalangan yang mempunyai kelulusan tinggi tetapi apabila menyentuh soal kejiranan dan kemasyarakatan, mereka tidak merasakan itu satu keperluan dalam hidup.

Amalan hidup berjiran dulu dan kini amat berbeza sama sekali.

Kalau pintu rumah selalu tutup, macam mana hendak bergaul dengan jiran?

Kesibukan keluar bekerja dan kehidupan yang terlalu tertekan, menyebabkan kita tidak peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita mahupun di sebelah rumah.

Nikmat kemewahan yang dikecapi turut menyebabkan ada antara kita merasa tidak perlu bergantung kepada orang lain.

Tetapi mereka lupa, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian hidup berjiran tanpa memilih siapa kita dan siapa mereka.

Jiran, orang paling dekat dengan kita di tempat tinggal atau pejabat. Atau di mana sahaja.

Tapi sejauh mana kita kenal jiran kita?

Jika di bandar, suasana berbeza dengan di kampung yang lebih mesra berjiran. Di bandar, konsep rumah kau rumah kau masih ada. Ada yang tak bertegur sapa, tutup pintu dan tidak terlibat dengan aktiviti kejiranan.

Tahukah anda cara hidup itu salah dan merugikan.

Menghormati jiran walau bukan seagama dan bangsa dengan kita sangat dialu--alukan. Ia amalan yang baik.

Mereka yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami nikmat hidup, adalah manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya.

Mereka akan sentiasa mencurahkan segala bakti kepada jiran seperti keluarga sendiri.

Sentiasa memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam hubungan dengan jiran adalah amalan murni.

Oleh itu, berilah layanan baik kepada jiran dan jangan sakiti hati mereka.

Hidup berjiran memerlukan semangat kejiranan yang tinggi.

Juga keakraban dalam hubungan sesama jiran.

Antara kebaikan semangat kejiranan ialah kita akan mudah mendapat bantuan jika kita menghadapi sesuatu masalah kerana mereka paling dekat dengan kita.

Suka atau tidak, kehidupan kita tidak dapat lari daripada perkara di luar dugaan seperti kebakaran, kemalangan, sakit dan sebagainya. Sudah sudah tentu jiran orang yang paling cepat dapat membantu kita sebelum saudara mara dan sahabat sampai.

Begitu juga apabila kita buat majlis keraian, jiiran akan turut membantu. Semasa kita tiada di rumah untuk jangka masa panjang, mereka juga tolong tengokkan rumah kita.

Kita patut bersyukur jika ada jiran yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur, tolong menolong dan berkerjasama dengan jiran tetangga. Beruntung ada jiran positif.

Kadangkala jiran lebih baik daripada keluarga sendiri.

Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran akan dapat melahirkan suasana seperti ini.

Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Kita boleh berkongsi ilmu dan pengalaman.

Akan tetapi ada juga jiran yang sombong, tak berkawan dengan orang, hidup macam kera sumbang. Kita jangan ikut perangai mereka. Pandang yang positif. Ingat mereka juga manusia, ada kelemahan dan kekurangan.

Bukankah elok dan bijak sekiranya kita bersangka baik?

Ingatlah..

Membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di kawasan yang kita diami.

Kesemua ini menjadikan kebajikan kita sebagai jiran setempat sentiasa terjamin dan terpelihara.

Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, percaya mempercayai dan sering berkongsi perkara antara mereka.

Tidak riak, sombong dan merendah diri.

Jiran yang ikhlas adalah yang sentiasa menghulur tangan membantu. Yang kerap bertanya khabar dan tersenyum melihat kita.

Yang berkongsi kehidupan berjiran kerana Allah dan tidak menyibuk dengan hal peribadi kita.

Kebaikan mereka ada batas dan cara.

Jadilah jiran yang berbaik sangka. Bukan yang sibuk mengumpul cerita.

Hidup ini mudah, yang sudi berjiran kita terima, yang menolak, kita doa yang baik-baik untuk mereka. Allah kan ada!

❤️🌹 Jangan seperti enau melepaskan pucuk masing-masing... Amalkan sifat, cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. 🌹❤️

3
0
0
0
0

Copy Link: