LAPAN pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya berjaya mengharumkan nama negara dengan mengetepikan negara besar seperti  Amerika Syarikat yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam Tournament Of Champions World Scholar's (TOC) 2019  yang berlangsung di Universiti Yale, New Haven, Connecticut di Amerika Syarikat (AS)  pada 8 hingga 13 November 2019 lalu. : Kitareporters.com

PELAJAR SSP yang menyertai  Tournament Of Champions World Scholar's (TOC) 2019 di Universiti Yale, Amerika Syarikat (AS) disambut oleh guru, pengurusan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG)  dan ahli keluarga sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 November 2019.


Program bertaraf antarabangsa itu disertai 60 buah negara dengan mengetengahkan kebijaksanaan dan  pengetahuan peserta melalui kepetahan berdebat, menulis karangan mengenai dunia luar  dan soalan kuiz berdasarkan  sukatan pelajaran disediakan TOC.

SSP yang disertai dua kumpulan terdiri dari senior dan junior berjaya meraih 13 pingat emas dan 15 perak melalui tiga bahagian yang pertandingkan termasuk menewaskan pasukan debat terkemuka dari AS dan India.

Pasukan senior SSP berjaya meraih tujuh pingat emas dan 10 perak yang disumbangkan melalui  Myra Amani  Amran; Nur Adlina Nadhirah Rahmat; Hafni Irdina  Salahuddin Adri; Nur Maryishha  Khairul Azmi dan Putri Maryam Inas  Asmunni.
Bagi pasukan junior pula menyumbang  enam pingat emas dan lima perak yang diwakili Elea Maisarah Hafizuddin;  Hannah Atiqah Zulhazame dan Arisha Zafreen  Sharil Izuan.

Sebelum terpilih ke peringkat TOC, lima pasukan SSP bertanding di Peringkat World Scholar's Global Round (WSG) yang disertai 32 negara di  Beijing pada bulan Mei dan tiga daripadanya berjaya meneruskan saingan ke peringkat TOC.

Pada peringkat WSG itu, SSP berjaya  mengondol 11 pingat emas dan 17 perak.

Ketua kontingen SSP, Malissa Mohd Kamal berkata, melalui pertandingan itu peserta diberi pendedahan kepada kehidupan masyarakat  dunia dan kesedaran isu-isu semasa melalui perdebatan, menulis karangan dan kuiz.

Malissa berkata, program yang julung kali disertai itu bertujuan memberi pendedahan mengenai masalah global dan mempersiapkan diri pelajar untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

"Kejayaan dicapai itu sangat membanggakan kerana kebanyakan penyertaan terdiri dari pelajar sekolah swasta yang menampilkan pelajar hebat dari segi akedemik dan perdebatan.

"Kemenangan ini bukan hanya untuk dirai oleh warga SSP, malah ia juga untuk negara kerana kita mampu mengetengahkan pelajar hebat pada peringkat global," katanya.

PELAJAR SSP yang menyertai Tournament Of Champions World Scholar's (TOC) 2019 di Universiti Yale, Amerika Syarikat (AS) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 November 2019.


Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibubapa Sanggar Bahasa (KISB) SSP, Datuk Wan Jamaludin Wan Malik, berkata  pihaknya berbangga dengan kejayaan pelajar  kerana mampu bersaing dengan pasukan hebat yang menggunakan bahasa perantaran utama bahasa Inggeris.

Menurut beliau, kejayaan itu  menunjukkan tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar berada pada tahap yang  tinggi dan mampu bersaing dalam apa juga pertandingan yang dianjurkan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, pencapaian pada peringkat TOC itu adalah lebih baik dan cemerlang berbanding peringkat WSG kerana walaupun SSP menghantar kumpulan yang kecil, namun mampu meraih jumlah pingat lebih besar. 

"Berdasarkan pencapaian itu, SSP bercadang menghantar penyertaaan pada tahun depan dengan menampilkan peserta baru di samping mengekalkan beberapa peserta lama yang telah berpengalaman menyertai pertandingan itu.

"Melalui cara itu, kita dapat memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menyertai pertandingan pada peringkat antarabangsa bagi memenuhi ko-kurikulum diikuti mereka.

"Kita juga mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan ibu bapa peserta termasuk pihak yang memberi sumbangan bagi menjayakan program disertai pelajar itu," katanya. - Kitareporters.com 

PENGERUSI Kumpulan Sokongan Ibubapa Sanggar Bahasa (KISB) SSP, Datuk Wan Jamaludin Wan Malik (kiri) dan Pengerusi PIBG SSP, Hasnal Hashim (dua dari kiri) turut menyambut kepulangan pelajar di KLIA.



12
1
1
0
0

Copy Link: