300 bakul Ramadan dan 1,200 bekas bubur lambuk diagihkan! CSR UMT dengan kerjasama Nestle Malaysia!
Published by.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi prihatin dengan mengagihkan 300 bakul Ramadan dan 1,200 bekas bubur lambuk kepada warga kampus dan komuniti setempat sempena ketibaan bulan mulia ini.
Program agihan itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMT dengan kerjasama Nestle Malaysia yang menyumbangkan bahan-bahan bagi penyediaan bubur lambuk untuk diedarkan kepada masyarakat.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata, program itu mencerminkan komitmen universiti dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya asnaf, anak yatim serta komuniti di sekitar kampus di daerah Kuala Nerus.
"Setiap tahun, UMT sentiasa berusaha mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti kebajikan. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mengeratkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat," katanya.
Beliau yang mewakili Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, keprihatinan syarikat korporat dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti kampus amat dihargai dan jalinan itu harus diperkukuh ke arah mewujudkan rakan strategik dalam pelbagai bentuk program demi kelestarian, kebajikan dan pendidikan.
Sebanyak 300 bakul Ramadan yang mengandungi barangan keperluan termasuk susu, mi segera, produk berasaskan coklat dan bahan makanan lain telah diagihkan kepada penerima asnaf yang layak.
Manakala 1,200 bekas bubur lambuk diedarkan kepada pelajar, staf serta komuniti yang masuk ke kampus UMT.
Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi, menyatakan bahawa sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan membantu meringankan beban masyarakat sepanjang Ramadan.
Penganjuran itu juga melibatkan penyertaan sukarelawan dari kalangan pelajar dan staf UMT yang bergotong-royong dalam penyediaan bubur lambuk serta pengagihan bantuan sekaligus mencerminkan semangat gotong-royong dan keprihatinan dalam kalangan warga kampus.
Majlis agihan bubur lambuk diadakan di pekarangan pintu masuk utama kampus UMT dan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT dengan kehadiran wakil daripada Nestle Malaysia dan barisan pengurusan universiti.
Penerima manfaat, Akmal Haikal, 21, yang juga pelajar jurusan Sarjana Muda Perakaunan UMT turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.
“Dengan program sebegini, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban perbelanjaan khususnya di bulan ramadan dan saya amat menghargainya,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media