INSTITUT Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan University College Of Yayasan Pahang atau Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) telah berkerjasama dalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang akademik, penyelidikan dan perkongsian idea khususnya dalam perladangan hutan, teknologi hijau serta literasi karbon.

Naib Canselor UPM, Profesor Dato Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, INTROP yang juga diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Higher Institution Centres of Excellence atau HICoE) oleh Jabatan Pengajian Tinggi menjadi pusat rujukan utama dalam komoditi perhutanan tropika merupakan salah satu bidang kepakaran di UPM terutamanya tanaman kenaf, buluh dan eucalyptus iaitu tanaman hutan yang berpotensi besar dalam industri kayu negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan isu-isu perhutanan


“INTROP dan UCYP akan bekerjasama untuk membangunkan tanaman komoditi bagi meneroka dan meraih manfaat jangka sederhana dan panjang kepada kedua-dua belah pihak. 

“Impak daripada ini akan menyumbang kepada peningkatan peluang penyelidikan, kelestarian alam sekitar, penjanaan pendapatan dan kemakmuran daripada kerjasama yang akan dinikmati masyarakat setempat untuk mengisi peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup dan mendapat persekitaran udara yang bersih,” katanya.

Pada MOU yang ditandatangani pada 17 Jun 2022 itu turut diadakan pelancaran Pahang Ecology Research Centre atau Pusat Penyelidikan Ekologi Pahang (PERC) di Dewan Yayasan Pahang, Kuantan.



Sementara itu, menurut Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato Dr. Ahmad Zainuddin, UCYP telah menubuhkan PERC sebagai platform untuk melestarikan hubungan antara UCYP dan UPM dalam konteks penyelidikan dan inovasi.

“UCYP ingin mempelajari lebih lanjut bagaimana untuk mendapatkan ranking UI Green Matriks yang mana dimaklumkan bahawa UPM telah tersenarai di tempat ke-27 bagi overall World Ranking 2021 sekali gus menjadi universiti Malaysia pertama mendahului Universiti Malaya yang berada di tempat ke-32.

“Kami ingin mengusahakan projek-projek kelestarian alam sekitar dan pelancongan dengan mengoptimumkan kapasiti ruang tanah yang ada di negeri Pahang dengan usaha sama UPM dan UCYP dengan menghasilkan projek berbentuk ekopelancongan dab agropelancongan,” katanya.

Turut hadir pada MOU UPM dan UCYP Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato' Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Ketua Hakim Syarie Pahang, Dato Seri Abdul Rahman Md. Yunos dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Profesor Dr. Nazamid Saari. - KitaReporters


13
13
0
10
0

Copy Link: