Catatan Akademik| Pengerusi ASEAN! UA perlu rebut peluang! Bina jaringan penyelidikan peringkat ASEAN!
Published byOleh TS MOHD RAFIZI RAHMAD DAN IR TS DR NURUL FARIHA LOKMAN
Universiti Teknologi Mara (UITM)
Penyelidik universiti awam (UA) Malaysia digesa untuk membina jaringan kerjasama antarabangsa bagi memperluaskan dimensi penyelidikan dan mengukuhkan kedudukan penyelidik negara pada peringkat global.
Usaha ini penting bukan sahaja untuk memperkaya wacana penyelidikan, tetapi juga sebagai strategi mempromosikan keupayaan penyelidikan dan inovasi Malaysia.
Sebagai permulaan, pensyarah disarankan untuk memulakan kerjasama kecil dengan institusi tempatan, sebelum memperluaskan skop kerjasama ke peringkat serantau, terutama di rantau ASEAN.
Permulaan ini nampaknya menjadi lebih mudah dan penting selepas Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, 2025. Oleh itu, Kepengerusian ASEAN sepatutnya membuka peluang lebih besar kepada UA Malaysia.
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Dalam landskap penyelidikan ASEAN, Makassar muncul sebagai wilayah strategik yang menyimpan potensi besar untuk diterokai.
Kedudukan Makassar sebagai hab pendidikan dan penyelidikan Indonesia Timur telah mendapat perhatian serius Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Melalui lawatan penanda aras baru-baru ini, UiTM berjaya membuka lembaran baharu kerjasama akademik dengan Universitas Hasanuddin (UnHas) dan Universitas Muslim Indonesia (UMI).
Pengiktirafan terhadap UiTM oleh universiti-universiti ini mencerminkan kedudukan kukuh institusi ini dalam arena penyelidikan dan pendidikan tinggi serantau.
UnHas, yang terkenal dengan keupayaan dalam sains marin dan pengurusan alam sekitar, menyediakan peluang besar untuk penyelidikan bersama dalam bidang pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber lestari.
Kedudukan Makassar yang berhampiran Coral Triangle menjadikannya lokasi ideal untuk meneroka penyelesaian lestari terhadap cabaran alam sekitar.
Selain itu, UMI pula melalui Management Innovation and Business Incubation Center (MIIB) membuka ruang kepada UiTM untuk meneroka inovasi dalam keusahawanan, termasuk pembangunan produk dan teknologi baharu.
Bidang farmasi dan sains kesihatan juga menawarkan potensi besar untuk penyelidikan bersama, memanfaatkan kekuatan penyelidikan pasukan farmasi UMI dan Pusat Kecemerlangan UiTM seperti Atta-ur-Rahman Institute for Natural Products Discovery (AuRInS).
Universitas Hasanuddin (UnHas) di Makassar, Indonesia.
Namun, cabaran untuk merealisasikan potensi ini tidak boleh diabaikan.
Penyelidik di universiti awam Malaysia sering menghadapi kekangan dana penyelidikan, terutama apabila bergantung kepada geran nasional seperti Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Geran Penyelidikan Translasi (PRGS) yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.
Persaingan sengit untuk geran nasional ini sering membataskan pelaksanaan projek penyelidikan berskala besar.
Oleh itu, usaha mencari sumber alternatif melalui geran antarabangsa perlu dipertingkatkan. Geran seperti Marie Curie dan Newton Fund, serta inisiatif serantau seperti ASEAN Blue Innovation Challenge (ABIC), boleh membuka jalan kepada peluang pembiayaan yang lebih besar.
Kerjasama dengan pihak industri dan penyelidikan lain turut dapat diperluas merentas negara ASEAN.
Kerjasama antarabangsa bukan sahaja menawarkan peluang pembiayaan, tetapi juga membuka akses kepada teknologi dan infrastruktur penyelidikan yang lebih maju.
Melalui hubungan dengan institusi seperti UnHas dan UMI, UiTM boleh memperkayakan kualiti penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains sosial, dan teknologi maklumat.
Di samping itu, kolaborasi ini juga memperluas peluang mobiliti pelajar dan pensyarah, khususnya dalam memperkukuh penyelidikan rentas budaya dan negara.
Universitas Muslim Indonesia (UMI) di Makassar, Indonesia.
Makassar, dengan potensinya yang belum diterokai sepenuhnya, merupakan peluang unik untuk UiTM memperluas jaringan penyelidikan dan memacu peranannya sebagai peneraju akademik serantau.
Dengan visi menjadi universiti bertaraf dunia tetapi berakar umbi secara lokal, usaha memperkukuh hubungan dengan universiti di Makassar boleh menjadi langkah strategik untuk merealisasikan misi ini.
Melalui kolaborasi yang mampan, UiTM bukan sahaja berpeluang meningkatkan visibiliti global, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ilmu yang memberi impak besar kepada masyarakat dan ekonomi serantau.
Sebagai universiti awam terbesar di Malaysia, UiTM perlu memanfaatkan pengiktirafan ini dengan menjadikan Makassar sebagai medan strategik untuk meneroka potensi kerjasama penyelidikan baharu.
Hubungan akademik antara UiTM dan institusi di Makassar bukan sekadar satu pencapaian, tetapi satu peluang besar untuk mencipta sejarah baharu dalam landskap pendidikan tinggi ASEAN.
Ts. Mohd Rafizi Rahmad ialah Ketua Timbalan Pendaftar dan Pengarah Jabatan Penyelidikan & Inovasi(JPI) UiTM, manakala Ir. Ts. Dr. Nurul Fariha Lokman pula ialah Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM. Artikel ini adalah pandangan penulis-penulis.
Ts. Mohd Rafizi Rahmad (kanan) dan Ir. Ts. Dr. Nurul Fariha Lokman