Tahniah ILP Kangar! Anugerah Emas dalam Pertandingan Arca Jerami Gergasi! Pesta Angin Timur Perlis!
Published byTema Harmoni Alam dan Manusia bagi Arca Jerami oleh pasukan ILP Kangar berjaya merangkul Anugerah Emas.
Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar mencipta sejarah apabila berjaya merangkul Anugerah Emas bernilai RM10,000 dalam Pertandingan Arca Jerami Gergasi sempena Pesta Angin Timur Perlis 2025 pada 23 Februari 2025.
Mengangkat tema "Harmoni Alam dan Manusia dalam Arca Jerami", pasukan ILP Kangar mempersembah arca inovatif bertajuk "Traktor Gabungan Kepala Robot", yang melambangkan kemajuan dalam automasi pertanian di era moden.
Hasil seni bina ini bukan sahaja menonjolkan kreativiti dan kemahiran teknikal binaan, tetapi juga dedikasi tinggi dalam seni pertukangan jerami.

Ts Mohd Yusri Bin Mohd Rahim.
Menurut Pengarah ILP Kangar, Ts Mohd Yusri Mohd Rahim, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan semangat berpasukan yang luar biasa.
“Pemilihan konsep automasi pertanian dalam pertandingan ini adalah bukti inovasi dan daya kreatif pasukan ILP Kangar.
"Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama institusi, tetapi juga menunjukkan komitmen kita dalam mengangkat teknologi dan pertanian ke tahap lebih tinggi melalui sistem kemahiran TVET,” katanya.
Beliau turut berbangga dengan dedikasi serta kerja keras yang telah ditunjukkan oleh pasukan ini dari peringkat perancangan hingga ke saat kemenangan.

Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan usaha kesungguhan dan semangat berpasukan sebarang cabaran mampu diatasi.
Pesta Angin Timur Perlis 2025 yang berlangsung di Perlis menjadi platform penting untuk menonjolkan keunikan seni binaan jerami serta menghargai kreativiti masyarakat tempatan.
Kejayaan ILP Kangar ini bukan sahaja mengharumkan nama institusi tetapi juga membuktikan potensi besar dalam bidang pertanian dan automasi melalui seni.
Setinggi-tinggi penghargaan turut diberikan kepada semua pihak yang telah menyokong dan memberi dorongan kepada pasukan ini.
“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk kita terus maju tidak hanya dalam pertandingan tetapi juga dalam memperkasa bidang kemahiran dan teknologi di ILP Kangar,” tambah Ts Mohd Yusri.

Sekali lagi, tahniah dan syabas kepada seluruh warga ILP Kangar, khususnya ahli pasukan yang telah berusaha gigih. Kejayaan ini menjadi langkah permulaan kepada lebih banyak pencapaian cemerlang pada masa akan datang.
ILP Kangar terus unggul dan berdaya saing dalam pendidikan TVET! - KitaReporters