Pelajar tekun mengikuti bengkel PISSA di Kuantan, Pahang.


Keperihatinan kerajaan negeri Pahang dalam usaha memantapkan persediaan pelajar-pelajar sekolah di negeri ini untuk berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula tidak lama lagi direalisasikan melalui penganjuran Bengkel Projek Intervensi Semua Subjek Satu A (PISSA). 

PISSA merupakan satu usaha yang bernas dalam meningkatkan kualiti pencapaian peperiksaan pelajar-pelajar sekolah menengah. Ia adalah satu program progresif yang merupakan satu kesinambungan pembaharuan produk pendidikan yang sedia ada iaitu Jawab Untuk Jaya (JUJ).

Bagi tahun ini, seramai 270 pelajar terpilih dari sekolah-sekolah di seluruh Pahang telah pun mengikuti bengkel yang diadakan pada 22 hingga 24 November 2023 lalu di Hotel Sri Manja, Kuantan.  


Sebahagian pelajar yang mengikuti bengkel PISSA di Pahang.


Program dilaksanakan melalui usaha sama Yayasan Pahang (YP) dan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP).

Penyelaras PISSA Pahang, Hamdan Taib berkata, PISSA diyakini dapat meningkatkan kualiti pencapaian peperiksaan pelajar-pelajar khususnya SPM.

Katanya, teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dan motivasi daripada guru-guru pakar juga dapat membuahkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti. 

“Sejak tahun 2003 lagi, PISSA diwujudkan bukan sahaja bagi meningkatkan prestasi pelajar malahan prestasi dan peningkatan peratus pencapaian pada peringkat negeri. 

“Kita juga membuat pilihan pelajar yang terlibat berdasarkan mereka yang mendapat keputusan 6A dan 3B ke atas dan dengan itu, pelajar yang terpilih ini memanglah sangat teruja. 

“Program ini telah dijalankan sejak sekian lama dan berjaya menghasilkan pelajar mendapat 8A dan ke atas manakala pemilihan guru adalah berdasarkan guru cemerlang yang dipilih oleh pihak YP dan JPNP,” katanya. 


Pelajar tekun mengikuti bengkel PISSA


Sementara itu Penyelaras Pusat SMK Abdul Rahman Talib (SMART) Norazizah Jusoh berkata, PISSA bertujuan untuk meningkatkan kualiti pencapaian dan kecemerlangan iaitu semua subjek A dalam peperiksaan SPM dalam kalangan pelajar-pelajar. 

Beliau berkata, bengkel yang dianjurkan tersebut adalah percuma dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui YP. Subjek utama dalam program PISSA antaranya Ekektif Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. 

“Dengan adanya PISSA ini peningkatan pelajar semakin meningkat, sekali gus berjaya mencapai apa yang dihasratkan,” katanya. 

Pencapaian PISSA terbukti apabila 80% daripada pelajar yang menyertainya memperoleh kejayaan seperti yang disasarkan. 

Selamat menduduki SPM 2023 buat calon-calonnya. Kejayaan pasti milik anda selepas segala usaha dan kerja keras selama dua tahun ini. Jumpa nanti di menara gading. - KitaReporters 


Bimbingan diberikan oleh guru pakar yang berpengalaman

18
7
0
15
0

Copy Link: