Kolaborasi seni kreatif! Pusat Kokurikulum dan SCIMPA UUM bincang kerjasama dengan pengarah filem!
Published byPusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan daripada pengarah filem dan ahli sinematografi Malaysia, Areel Abu Bakar bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang perfileman.
Sesi perbincangan ini diadakan antara pihak Pusat Kokurikulum UUM, Areel dan pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM, Ts Dr Nor Hissam Sulaiman.
Fokus utama perbincangan adalah idea penghasilan sebuah filem bagi mengangkat isu-isu sosial yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat.
Filem tersebut diharapkan mampu meningkatkan kesedaran tentang isu-isu sosial tertentu dan implikasinya terhadap masyarakat.
Areel Abu Bakar (kiri) adakan pertemuan dan perbincangan dengan Ts Dr Nor Hissam Sulaiman.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UUM Dr Za'im Ahmad dalam pertemuan itu berharap melalui kerjasama ini pastinya filem yang dihasilkan akan memberi impak positif dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Katanya, beliau menggalakkan penglibatan pelajar kokurikulum dalam pembikinan filem berkenaan bagi mengetengahkan bakat mereka serta menambah pengalaman dan pengetahuan dalam industri kreatif.
"Pihak kami sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak terutama dalam membantu menyerlahkan bakat pelajar universiti ini," katanya ketika ditemui.
Pertemuan antara pihak Dr Za'im Ahmad (kiri), Areel (dua dari kanan) dan Ts Dr Nor Hissam (kanan).
Melalui pertemuan ini juga beberapa aktiviti turut dibincangkan untuk jangka panjang termasuk bengkel penulisan skrip, asas lakonan drama, filem dan teknik suntingan.
Moga kerjasama ini membuka ruang kepada Pusat Kokurikulum UUM untuk terus memanfaatkan platform seni kreatif dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi intelektual, kemahiran dan kesedaran sosial. - KitaReporters
Moga pertemuan ini membuka lembaran baru dalam industri perfileman.