Lahirkan pelajar berdaya saing, berwibawa! Anugerah Keterampilan Pelajar UPSI! Pupuk bakat kepimpinan!
Published byAnugerah Keterampilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultah Idris (UPSI) 2024, merupakan usaha komited universiti itu dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing dan berwibawa, justeru itu ia dizahirkan pada majlis yang berlangsung dengan penuh gemilang, pada 18 Februari 2025.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin, berkata program itu bukan sekadar pengiktirafan, malah berfungsi sebagai platform utama dalam membangunkan bakat kepimpinan serta sahsiah dalam kalangan mahasiswa.
Dr Norkhalid Salimin ketika berucap sempena menyempurnakan Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar UPSI 2024.
Sebanyak 64 permohonan diterima bagi 12 kategori anugerah
yang dipertanding tahun ini (2025), mencerminkan semangat tinggi pelajar dalam
menyerlahkan kebolehan masing-masing.
Menurut beliau, penghargaan itu bukan hanya untuk pelajar,
malah merupakan satu peluang bagi seluruh warga UPSI memanfaatkan setiap
inisiatif yang ditawarkan, termasuk disediakan oleh Kementerian Pendidikan
Tinggi (KPT), bagi memperkukuh reputasi institusi pada peringkat nasional dan
antarabangsa.
Tambah beliau, pembabitan dalam aktiviti kokurikulum di luar bilik kuliah bagi membentuk mahasiswa yang holistik adalah penting selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa oleh KPT, malah penyertaan dalam kelab dan persatuan membolehkan pelajar mendalami minat dan bakat mereka, selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta mengasah kemahiran kepimpinan.
Pemenang Anugerah Perdana Naib Canselor 2024, Ng Zhen Fan Shankar (lima dari kanan) bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI.
Beliau turut menyeru mahasiswa supaya keluar dari zon selesa
dan terus mencari ruang untuk mengembangkan potensi diri.
“Saya percaya dengan bimbingan dan sokongan berterusan
daripada pensyarah serta pihak pengurusan universiti, kita dapat melahirkan
graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki daya
kepimpinan tinggi dan kesedaran terhadap pembangunan masyarakat serta negara.,”
ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan majlis berkenaan bertempat di Hotel Pearl, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh 205 mahasiswa dan 35 kakitangan UPSI.
Turut hadir pada majlis itu, Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril; dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPSI, Maskana Ahmad.
Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) UPSI memenangi Anugerah Kelab/Persatuan Terbaik bergambar bersama Dr Norkhalid.
Dr Norkhalid berkata, program seperti itu amat penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih dinamik dan berdaya saing kerana UPSI mahu melihat mahasiswa bukan hanya berjaya di dalam kelas, tetapi juga berperanan sebagai pemimpin dan individu mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.
Jelasnya, UPSI amat menggalakkan penyertaan dalam program
pembangunan diri yang ditawarkan oleh universiti dan KPT di samping universiti
berkenaan akan terus memperkasakan program seumpama itu bagi memastikan lebih
ramai mahasiswa mendapat pengiktirafan yang selayaknya.
“Kita berharap majlis ini dapat menjadi pemangkin kepada
mahasiswa untuk terus meningkatkan daya kepimpinan mereka, seterusnya menjadi
pemimpin masa depan yang berkaliber,” ujar beliau.
Antara kategori Anugerah Keterampilan Pelajar yang dipertandingkan ialah Anugerah Perdana Naib Canselor yang dimenangi oleh Ng Zhen Fan Shankar dan Anugerah Kelab/Persatuan Terbaik diraih Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS). - KitaReporters
Semua pemenang bagi 12 kategori anugerah bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI sambil memegang trofi dan replika cek sempena Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar UPSI 2024, di Hotel Pearl, Kuala Lumpur.