Poster yang dihasilkan oleh Alan Tan Khee Sheng.


SISWA jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Alan Tan Khee Sheng meraih tempat ke-7 dalam Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) atau ACP World Championship 2024 yang diadakan di California.

Siswa semester ke-2 dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), UPSI itu bersaing dengan 47 peserta yang mewakili lebih 40 negara dari seluruh dunia bagi merangkul anugerah tersebut yang berlangsung pada 28 hingga 31 Julai 2024.

“Saya berbangga dengan hasil kerja yang sudah lakukan pada tahap ini namun yang paling penting saya dapat mengharumkan nama UPSI dan Malaysia di persada antarabangsa.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak UPSI kerana memberi tunjuk ajar dan peluang kepada saya untuk menyertai kejohanan dunia pada kali ini,” katanya.


Alan Tan Khee Sheng (tengah) mendapat tempat ke-7 sekali gus membawa pulang sijil penyertaan di pentas Adobe Certified Professional World Championship 2024.


Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI, Ahmad Nurzid Rosli yang mengiringi Alan Tan Khee Sheng di pentas dunia itu turut menzahirkan rasa bangga di atas pencapaian anak didiknya.

ACP World Championship merupakan program yang dipertandingkan pada peringkat antarabangsa bagi menguji kemahiran reka bentuk pelajar menggunakan Adobe Ilustrator, Photoshop dan InDesign.

Pada edisi kali ini, katanya, peserta menggunakan perisian Adobe Creative Cloud untuk mereka bentuk sebuah poster yang bertemakan "Kemahiran Digital untuk Masa Depan Mampan" dalam tempoh masa lapan jam.

Terdahulu sebelum itu, Alan Tan Khee Sheng dinobatkan sebagai naib johan dalam Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia 2024 pada Mei 2024 lalu, sekali gus melayakkan beliau mewakili Malaysia dalam kejohanan Adobe Certified Professional World Championship 2024. - KitaReporters


Ahmad Nurzid Rosli (kiri) bersama Alan Tan Khee Sheng.

11
7
0
13
0

Copy Link: