Kupon makanan percuma di Kafe Pusat Islam UUM

Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) mengedarkan kupon makanan dan minuman percuma kepada pelajar-pelajar di kampus ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelajar boleh mendapatkannya di pejabat Pusat Islam universiti ini.

Katanya, walaupun Menu Rahmah bernilai RM4 dan RM5 diperkenal di kampus ini seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) namun pihaknya turut menyediakan kupon percuma ini.


Lagi


Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.


“Kedua-dua langkah ini diperkenal bertepatan pada masanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” ujar Dr Ahmad Martadha lagi.

Moga langkah ini dapat membantu pelajar UUM menjimatkan perbelanjaan mereka dengan pengedaran kupon makanan dan minuman secara percuma selain daripada pembelian melalui Menu Rahmah yang diperkenal oleh kafe-kafe pilihan di UUM, tambah beliau.


Ustaz Zar Ei Zakaria (kanan sekali) melihat pelajar menukarkan kupon dengan makanan.


Dalam pada itu Pengarah Pusat Islam UUM, Ustaz Zar Ei Zakaria ketika ditemui berkata, kupon percuma ini telah diedarkan sejak tahun lepas dan diteruskan sehingga sekarang.

Katanya mereka boleh membuat pembelian makanan dan minuman di Kafe Pusat Islam UUM dengan menyerahkan kupon yang diedarkan itu.

“Semua pelajar kampus ini yang ingin mendapatkan kupon boleh hadir ke pejabat Pusat Islam untuk mendaftar dan mendapatkan kupon ini pada hari bekerja,” sambungnya  lagi.

Pemberian kupon percuma untuk pembelian makanan dan minuman ini adalah sumbangan dari kalangan staf, alumni dan penyumbang-penyumbang.


Pelajar UUM dapatkan kupon percuma di kaunter Pusat Islam UUM

Sementara itu Eksekutif Pembangunan Sahsiah dan Moral, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Muhammad Danial Azrain yang bertemu dengan Pengarah Pusat Islam berterima kasih kepada pihak Pengurusan Universiti, semua pengusaha kafe dan Pusat Islam kerana sentiasa membantu menyediakan Menu Rahmah dan kupon percuma kepada pelajar-pelajar.

“Kami yakin dengan inisiatif ini pastinya dapat membantu pelajar terutama B40 dan mereka yang mempunyai masalah kewangan menarik nafas lega dengan pakej-pakej yang disediakan ini,” ujarnya lagi.


Kafe Pusat Islam yang menyajikan makanan secara percuma selepas pelajar menukarkan kupon mereka.

Bagi Eksekutif Hal Ehwal Aduan dan Krisis 1, MPP UUM , Muhammad Iman Hanafi Aizam, 22, pakej-pakej yang ditawarkan ini diharap dapat membantu pelajar di kampus ini kelak.

Katanya, kini pelajar-pelajar mempunyai pilihan samada membeli makanan di kafe yang menawarkan Menu Rahmah atau mendapatkan kupon percuma yang disediakan oleh pihak Pusat Islam UUM.

 “Kedua-dua inisiatif ini amat baik dan diharap dapat membantu pelajar di kampus ini,” ujarnya lagi. - KitaReporters


14
17
0
12
0

Copy Link: