PROGRAM Anak Kita: SPM 2025 Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan Malaysia yang diselaraskan oleh Yayasan Hasanah bersama USM bagi menjayakan program berkenaan.

Peringkat Negeri Kedah, majlis peluncuran dan penyerahan tablet pendidikan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, Langkawi, serta beberapa lokasi lain termasuk Dewan Al-Farabi, Zon B, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah; Bilik Kenangan Blok Ibnu Sina (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan SMK Pinang Tunggal bermula 19 hingga 22 Januari 2025.

Ketua Pegawai Pendidikan Yayasan Hasanah, Dr Nur Anuar Abdul Muthalib, menegaskan bahawa Program Anak Kita: SPM 2025 USM merupakan bukti keberkesanan sinergi kerjasama dalam sektor pendidikan.

Menurutnya, yayasan berharap program itu dapat memperkasakan pelajar yang kurang berkemampuan serta membawa impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.


Dr Nur Anuar Abdul Muthalib (dua dari kiri) menyampaikan replika sumbangan sempena Program Anak Kita: SPM 2025 USM.


Selain itu, katanya, program berkenaan turut memanfaatkan hasil penyelidikan universiti melalui pemindahan ilmu dan inovasi akademik, memastikan pendekatan pembelajaran yang lebih efektif serta menyesuaikan keperluan pelajar secara individu.

Tambahnya. program itu tidak hanya memberi impak kepada pelajar, tetapi juga mengukuhkan penglibatan komuniti melalui kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.

"Program ini membuka ruang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang mencabar untuk memperoleh pendidikan yang inklusif dan berkualiti. 

"Semua pihak berharap inisiatif itu akan membantu mencorak masa depan pelajar dengan lebih cerah, sekali gus melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia,” ujarnya pada majlis peluncuran dan penyerahan tablet pendidikan program itu.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengarah Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK), Malek Abu Hassan; Felo Penyelidik (Perunding), Syed Yusof Syed Kechik; Ketua Projek USM, Dr Leelany Ayob; serta Ketua Jualan Perusahaan Wilayah, CelcomDigi Berhad, Lau Choon Wei.

Dr Nur Anuar berkata, program berkenaan bertujuan menyediakan intervensi sokongan pembelajaran bagi pelajar yang memerlukan, menangani isu keciciran, meningkatkan pencapaian akademik serta memperkukuh kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  

Sebagai sebahagian daripada program nasional Program Anak Kita, yang membabitkan 83,752 pelajar dari 3,458 sekolah di seluruh negara, USM diberi mandat untuk melaksanakan Tuisyen SPM 2025 yang merangkumi 10 negeri termasuk Wilayah Persekutuan, membabitkan 10,000 pelajar dari 410 sekolah. 

Di Kedah sahaja, program itu memberi manfaat kepada 1,200 pelajar dari 29 sekolah dengan pelaksanaan selama 15 bulan bermula Mac 2025 hingga Ogos 2026. 


Dr Nur Anuar (duduk tengah) bersama pegawai JPNK dan USM serta ibu bapa pelajar yang menerima bantuan tablet. 


Untuk rekod, Program Anak Kita: SPM 2025 dilaksanakan di seluruh negara dengan USM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi mandat menjadi pelaksana program berkenaan.

Beliau berkata, sebagai langkah pemerkasaan pembelajaran digital, setiap pelajar dalam program itu diberikan tablet pendidikan yang dilengkapi dengan pelan data percuma selama 13 bulan bagi menyokong pembelajaran dalam talian serta akses kepada sumber pendidikan digital.

Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama CelcomDigi Berhad, yang menyediakan akses internet tanpa had bagi memastikan pelajar dapat mengikuti pembelajaran tanpa halangan.

Sementara itu, Malek ketika berucap pada majlis berkenaan, menekankan kepentingan penggunaan teknologi secara bijak dan bertanggungjawab selain memanfaatkan tablet pendidikan yang diberikan untuk pembelajaran dan tidak menyalahgunakannya untuk perkara tidak berfaedah.

"Gunakan kemudahan ini untuk meningkatkan prestasi akademik dan membina masa depan yang lebih cerah. Jangan sia-siakan peluang diberikan.

“USM sebagai pelaksana program komited dalam memperkasakan pelajar melalui pendekatan holistik dan intervensi berstruktur. Program ini bukan sahaja menumpukan kepada peningkatan prestasi akademik tetapi juga pembangunan diri dan persediaan pelajar menghadapi kehidupan selepas sekolah,” katanya. - KitaReporters


7
12
0
15
0

Copy Link: