Usaha kecil, impak besar! Persatuan Gerakan Pengguna Siswa USIM anjur MySaveFood di Bazar Ramadan!
Published byPersatuan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah melaksanakan inisiatif MySaveFood pada 16 hingga 22 Mac 2025 di bazar Ramadan berhadapan Lotus Nilai.
Program ini bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan peniaga bazar serta membantu golongan yang memerlukan.
Seramai 10 orang ahli GPS termasuk tiga orang ahli Kelab Media dan Komunikasi Strategik USIM (StraComm Clique) turut serta dalam usaha mengumpulkan lebihan makanan yang masih elok daripada para peniaga.
Makanan yang dikumpulkan kemudiannya diagihkan ke kolej kediaman, Pusat Islam, serta surau di sekitar Nilai.
Menurut Presiden GPS USIM, Amirul Hairie Mohammad, inisiatif ini bukan sahaja dapat mendidik masyarakat mengenai kepentingan mengelakkan pembaziran, tetapi juga memastikan makanan berlebihan dimanfaatkan sebaiknya.
“Inisiatif dan langkah yang bijak untuk mengurangkan pembaziran di Malaysia, menyelamatkan makanan lebihan dan turut membantu golongan yang memerlukan seperti pelajar dan asnaf,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha kecil seperti ini dalam memberi impak yang besar kepada masyarakat.
“Walaupun langkahnya kecil tapi impaknya besar demi mengelakkan pembaziran dan menghargai makanan,” tambahnya.
Salah seorang peniaga bazar turut memuji usaha tersebut dan menyatakan bahawa program seperti ini memberi kesedaran kepada peniaga tentang pengurusan makanan yang lebih baik.
Menurutnya, kadangkala makanan yang tidak habis terpaksa dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah walaupun masih elok, dan dengan adanya program ini, sekurang-kurangnya ia dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
MySaveFood merupakan salah satu inisiatif yang semakin mendapat perhatian dalam usaha menangani isu pembaziran makanan di Malaysia.
Kolaborasi antara persatuan mahasiswa dan pihak berkuasa ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada pihak lain dalam menganjurkan program yang memberi impak positif kepada masyarakat. - KitaReporters/USIM