UMT teruskan tradisi anjur majlis iftar Ramadan dan makan bertalam! Sediakan peruntukan RM7k sehari!

Published by
KitaReporters


RAMADAN  bulan yang dinantikan oleh umat Islam untuk merebut pelbagai peluang bagi meningkatkan amal ibadah terutama bersedekah kepada golongan yang memerlukan untuk aktiviti berbuka sepanjang bulan puasa.

Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak melepaskan peluang pada setiap tahun untuk menyediakan iftar kepada semua mahasiswa yang memerlukan.

Timbalan Pengarah PISM, Faizah Ismail berkata, saban tahun pihaknya mengadakan iftar bagi meraikan pelajar terutama golongan berbuka puasa di universiti itu. 


Pelajar menunggu waktu untuk sesi berbuka puasa


Menerusi program itu, PISM memperuntuk RM7,000 sehari bagi menyediakan juadah iftar kepada 500 hingga 1,000 pelajar pada setiap hari. 

“Tahun ini (2024), PISM akan meneruskan tradisi iftar Ramadan untuk semua pelajar yang memerlukan.

”Tajaan iftar adalah sumbangan warga UMT sendiri sama ada melalui potongan gaji ke Tabung Infaq Ramadan, sumbangan individu dan sumbangan Pusat Tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat UMT. 



Menurut Faizah, konsep makan bertalam (makan dalam dulang) yang dikongsi antara empat hingga lima orang turut dikekalkan semasa iftar di PISM. 

“Konsep ini adalah untuk menghidupkan sunah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan walaupun ia dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda,” ujarnya. 


Pelajar-pelajar antarabangsa tidak ketinggalan mendapat kemudahan berbuka puasa anjuran UMT


Selain itu, katanya, bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa menunaikan solat tarawih di masjid UMT, pihak PISM turut menyediakan kemudahan nurseri untuk kanak-kanak berumur dua tahun sehingga lima tahun.  

“Nurseri ini dibuka kepada staf UMT dan komuniti setempat yang mengikuti tarawih di PISM," katanya lagi.

Pelbagai aktiviti menarik juga disediakan untuk anak-anak di samping peralatan mainan yang disediakan pihak PISM sendiri. 



Jagaan kanak-kanak ini turut dibantu oleh sukarelawan asnaf pelajar UMT yang mendapat manfaat daripada bantuan zakat yang diagihkan oleh pihak PISM.  

Justeru katanya, orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang ke tabung Infaq Ramadhan, UMT untuk sama-sama membantu program pengimarahan masjid UMT. - KitaReporters


 

13
12
1
14
0

Copy Link: