Sejarah tercipta! Program Alumni UPM tersenarai! Malaysia Book of Records! Penyertaan teramai!
Published byKejayaan ini amat bermakna buat pihak yang terlibat.
TAHNIAH diucapkan kepada pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila program UPM Alumni Golden Fit 2021 sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun (1971-2021) tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) pada 6 Ogos 2021.
Program tersebut memperoleh penyertaan terbesar iaitu seramai 6,203 alumni sekali gus dinobatkan sebagai rekod penyertaan terbesar dalam acara kecergasan alumni universiti.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UPM
Program yang digerakkan secara maya ini bermula pada 5 Februari sehingga 30 Julai 2021. Acara ini membenarkan peserta untuk memilih aktiviti kecergasan yang bersesuaian dengan mereka antaranya berjalan kaki, berlari, menunggang basikal dan juga berkuda.
Para peserta boleh memilih kategori yang disertai dengan jarak dibenarkan iaitu 50, 25, 10 dan lima kilometer.
Lebih istimewa lagi, setiap kategori akan menerima cenderahati eksklusif, antaranya adalah medal berbentuk logo Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM yang pasti akan menjadi kenang-kenangan sepanjang zaman.
Antara alumni yang menyertai program ini.
Program ini merupakan kerjasama di antara Pusat
Perhubungan Alumni bersama pelajar UPM di bawah Chapter Student Ambassador
(CSA), Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dan juga KDS Apparel.
Majlis penyerahan Sijil The Malaysia Book of Records yang diadakan secara
maya telah dihadiri Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM; Prof.
Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal
Ehwal Pelajar dan Alumni); Dato’ Raihan Sharif, Presiden Persatuan
Alumni UPM (PAUPM); Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan
Alumni; Fahmi Azar Mistar, Timbalan Pengarah ARCUPM; Edwin Yeoh
Teong Chin, Perunding Rekod Kanan, The Malaysia Book of Records; Sabrina
Abdu Hadid, Pengarah Program UPM Alumni Golden Fit; Jawatankuasa Pengurusan
Universiti; pegawai-pegawai kanan UPM,
para alumni dan warga kampus.
Raihan melihat program ini bertepatan dalam menghubungkan alumni kepada alma mater.
Menurut beliau, program ini berbentuk serampang dua mata dalam menggalakkan gaya hidup sihat kepada peserta dan memberi manfaat kepada UPM dalam memastikan maklumat alumni sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.
Perunding Kanan MBR, Edwin Yeoh Teong Chin.
Dr. Arba’ie pula berkata UPM Alumni Golden Fit telah mewujudkan satu sumbangan alumni yang sangat signifikan iaitu pewujudan satu Biasiswa Menteri Besar Selangor kepada pelajar UPM dan pembinaan Arca 50 Tahun UPM yang akan dibina kelak.
Semua ini tentunya menjadi momen penting dalam mengingati Sambutan Jubli Emas UPM yang sedang diraikan.
“Saya yakin dan percaya kejayaan program ini adalah hasil tuaian kepada jalinan hubungan yang erat di antara alumni, pelajar dan warga kampus. Tanpa hubungan yang kukuh tidak mungkin program ini dapat memberi impak seperti yang diharapkan.
“Dan inilah semangat kecintaan dan kebersamaan yang ingin kita perkasakan selari dengan slogan ‘Kami Bangga Menjadi Alumni UPM’ agar matlamat “Bersama Mencitra Alumni UPM” dapat direalisasikan,” ujar beliau.
Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba'ie Sujud.
Pastinya perkara paling penting di sebalik kejayaan
hebat ini adalah sokongan tidak berbelah bahagi daripada Naib Canselor
Universiti Putra Malaysia.
Pada sesi ucapan, Dr. Roslan menzahirkan rasa kagum atas kegigihan para pelajar dalam merealisasikan acara kecergasan ini demi menyemarakkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) walaupun dalam suasana getir wabak pendemik Covid-19.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar CSA iaitu sebuah chapter pelajar di bawah ARCUPM kerana telah berjaya melaksanakan program UPM Alumni Golden Fit dengan penuh kecemerlangan.
Ybhg Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman.
“Kejayaan ini tanda kesepakatan dan solidariti semua
pihak yang terlibat terutama warga kampus dan alumni UPM dalam memastikan
program kecergasan secara maya ini mencapai titik kejayaan seperti yang
diharapkan.
“Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama, inilah yang saya hasratkan melalui seruan al-Falah, yang saya zahirkan dalam Naratif Naib Canselor, untuk bersama-sama kita mencitrakan kecemerlangan UPM.
“UPM ini umpama sebuah bahtera yang belayar di
samudera luas yang memerlukan sokongan dan dokongan daripada setiap warganya
untuk sampai ke destinasi yang kita tujui.
“Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Selangor melalui Menteri Besar
Incorporated kerana telah menaja program UPM Alumni Golden Fit. Menerusi
penajaan ini kita telah berjaya menarik lebih ramai alumni untuk menyertai
program ini.
“Keterlibatan alumni dalam setiap program yang
dianjurkan memperlihatkan kebersamaan alumni untuk sama-sama membantu warga UPM
dan pelajar terutamanya yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” akhirinya. - KitaReporters