Demi persekitaran kondusif! MMU pindahkan Fakulti Seni Senimatik di Iskandar Puteri ke Cyberjaya!
Published byOleh: SAHBULAH MOHAMAD DARWI
UNIVERSITI Multimedia (MMU), institusi terkemuka Malaysia bagi ICT dan multimedia kreatif, telah memindahkan Fakulti Seni Sinematik (FCA) dari kampus Iskandar Puteri, Johor ke Cyberjaya, Selangor.
Perpindahan tersebut melibatkan semua pelajar pada peringkat Asasi dan Ijazah Sarjana Muda berserta semua pensyarah dan kakitangan pentadbiran.
Presiden MMU, Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud menyifatkan perpindahan berkenaan sebagai amat penting dan tepat pada masanya bagi membolehkan universiti menghasilkan siswazah yang lebih kompeten dengan mengambil kira trend semasa dan permintaan pasaran.
Lagi kisah-kidah menarik berkaitan MMU
DR. MAZLIHAM MOHD SU’UD
"Berada di Cyberjaya akan memberi manfaat besar kepada pelajar FCA, kerana mereka dapat bergaul dengan pelajar lain dari fakulti yang berbeza dan terdedah dengan persekitaran yang kondusif.
“Dalam pembangunan pelajar untuk jangka masa panjang, kami merasakan bahawa pelajar perlu ditempatkan dalam suasana yang berbeza supaya mereka lebih mudah menyesuaikan diri dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Dalam masa sama, beliau yakin pemindahan kampus berkenaan memberi manfaat kepada seluruh komuniti MMU.
Dari sudut perspektif sumber manusia pula, pemindahan kampus itu dilihat lebih relevan berikutan pasaran industri kreatif dan hiburan lebih banyak tertumpu di sekitar Lembah Klang sahaja.
“Memandangkan ramai tenaga pengajar FCA terdiri daripada pengamal industri yang aktif khususnya yang berada di Lembah Klang, ini memudahkan pihak universiti mendapatan tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang perfileman," jelasnya.
Mazliham berkata, dengan kepakaran tenaga pengajar yang berpengalaman dari industri, pelajar akan mendapat pendedahan yang lebih luas dan seterusnya meningkatkan ilmu dan kepakaran mereka.
Kampus MMU di Cyberjaya.
Sebagai persediaan untuk perpindahan ke kampus Cyberjaya, MMU telah menambah kemudahan baharu selain menaik taraf beberapa kemudahan sedia ada di kampus itu.
Ini termasuk pawagam, yang akan digunakan untuk tayangan filem, kuliah dan forum.
Makmal pascaproduksi untuk penyuntingan filem, kesan visual dan penggredan warna, serta studio bunyi untuk reka bentuk bunyi, dan rakaman bunyi turut dinaik taraf.
Studio pementasan telah dipertingkatkan ciri-cirinya untuk pembikinan filem, reka bentuk set dan kesan visual, serta kemudahan produksi berbilang kamera. Kemudahan itu untuk produksi TV, penyiaran dan rakaman studio untuk menyediakan korikulum pengajaran yang komprehensif.
Semua pelajar FCA dijangka kembali ke kampus sepenuhnya untuk sesi pengajaran dan pembelajaran pada awal tahun 2022. - KitaReporters
MMU telah memindahkan Fakulti Seni Sinematik (FCA) dari kampus Iskandar Puteri, Johor ke Cyberjaya.