Syabas MMU! Dilantik semula jadi rakan strategik JPN Melaka! Tingkat penguasaan digital warga sekolah!
Published byUniversiti Multimedia (MMU) telah dilantik semula sebagai Rakan Strategik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan teknologi digital dalam kalangan warga sekolah di negeri itu.
Dengan pelantikan bagi tahun kedua itu, MMU dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) JPN akan menggembleng tenaga untuk menambah baik mutu pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan penggunaan teknologi digital terkini.
Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud menyifatkan pelantikan rakan strategik JPN itu sebagai satu kepercayaan tinggi kepada MMU dalam usaha melahirkan generasi baharu yang berkompetensi dalam bidang teknologi maklumat dan multimedia bagi mendepani keperluan masa hadapan negara.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus MMU
“Dengan adanya jalinan yang kukuh antara MMU dan SSTP JPN Melaka, kita dapat sama-sama merealisasikan kemenjadian
holistik anak-anak dalam segenap aspek sama ada jasmani, emosi, rohani atau
intelek,” katanya pada Majlis Kunjungan Hormat SSTP JPN Melaka dan Pelantikan
MMU Sebagai Rakan Strategik di MMU Cyberjaya, pada 2 Mac 2023.
Menurut Prof. Mazliham, MMU bersedia
berkongsi kepakaran untuk memupuk bakat digital yang berpengetahuan,
berkemahiran dan beretika dalam penggunaan teknologi digital pada masa depan.
Dengan pengalaman yang dimiliki, tambahnya, MMU bersedia untuk
berkongsi serba sedikit ilmu serta kepakaran teknologi digital dan multimedia
untuk dimanfaatkan oleh pihak SSTP JPN Melaka.
“Tumpuan boleh diberi kepada usaha
untuk meningkatkan penguasaan murid dalam teknologi digital, memperkaya
kandungan digital yang berkualiti, memperkasa kompetensi guru, dan membudayakan
penggunaan teknologi digital dalam kalangan warga sekolah,” jelasnya.
Dalam kunjungan hormat itu, delegasi-delegasi JPN Melaka yang diketuai Nasaruddin Rahmat, Ketua Penolong Pengarah SSTP telah bertukar-tukar pandangan tentang kerjasama yang bakal dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak untuk sepanjang tahun 2023. - KitaReporters/MMU