Dalam usaha memperkasakan bakat pelajar selaku ejen perubahan dalam perkembangan pendidikan tinggi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengambil langkah proaktif dalam memberikan autonomi kepada mahasiswa untuk mengelola sepenuhnya pilihan raya kampus (PRK).

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Ts. Zaliman Sauli berkata, atas dasar itu, UniMAP telah menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Pemimpin Mahasiswa (JPPM), yang tidak hanya memberikan mahasiswa kesempatan untuk menggali minat dan bakat mereka, tetapi juga menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

Menurut Zaliman, dalam konteks global yang semakin kompetitif, kemampuan untuk memilih dan memimpin adalah hal yang sangat bernilai, justeru dengan memberikan peluang sebegini kepada setiap mahasiswa, UniMAP berharap dapat menghasilkan graduan yang lebih bersedia menghadapi dunia nyata.

“JPPM, merupakan satu revolusi baharu pendidikan tinggi dalam memastikan pendemokrasian pelajar berjalan dengan lancar dan ia adalah sejajar dengan kehendak Kementerian Pendidikan Tinggi yang menekankan agar Pilihan Raya Kampus diurus sendiri oleh pelajar-pelajar sekali gus mendokong agenda pemerkasaan mahasiswa,” ujarnya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah JPPM di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmantan Pelajar (P3P), Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.



Bersempena majlis tersebut juga, UniMAP turut melangkah lebih jauh dengan melancarkan Program Pemerkasaan Mahasiswa Madani: Felow Kepimpinan UniMAP atau lebih dikenali sebagai “UniMAP Fellows”.

Menurut Zaliman, program ini merupakan inisiatif yang menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia Madani, sebuah negara yang lebih makmur dan maju dengan berteraskan enam nilai Madani iaitu kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, dasar ketelusan, dan kerjasama.

Jelasnya, UniMAP Fellows (Felow UniMAP) bukan sekadar program biasa sebaliknya, para peserta akan ditempatkan di bawah seliaan Pengurusan Tertinggi Universiti, Dekan Fakulti, dan Ketua-ketua Jabatan untuk tempoh setahun.

“Mereka akan melalui proses pengurusan yang bersuaian untuk melatih kemahiran kepimpinan, membuat keputusan yang bijak, dan meningkatkan nilai insaniah mereka.

“Usaha ini mencerminkan komitmen UniMAP dalam memberi peluang kepada pelajar untuk mengambil peranan aktif dalam pengurusan kampus dan pada masa yang sama memperkukuhkan kepimpinan mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, penglibatan pelajar dalam proses Pilihan Raya Kampus dan program seperti UniMAP Fellows tidak hanya merangkumi aspek demokratik semata-mata tetapi juga memberikan kesempatan kepada mereka untuk berkembang sebagai pemimpin masa depan yang bertanggungjawab dan berdaya saing tinggi. - KitaReporters/UniMAP

8
13
0
14
0

Copy Link: