Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke kediaman Haziq Safwan Shahril di Kajang pada 11 Julai 2024 bagi menyampaikan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. 

Haziq yang juga salah seorang penerima bantuan YKM telah mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan SPM tahun lalu (2023) dan akan menyambung pelajaran di German-Malaysian Institute (GMI) dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Perisian (Diploma in Software Engineering). 

Pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu menerima wang tunai sebanyak RM1,000. 

“Saya berharap bantuan yang diberikan kepada Haziq akan dimanfaatkan sebaiknya sewaktu menyambung pelajaran kelak. 

“Pendidikan merupakan agenda utama YKM terhadap pemberian bantuan ini kerana pendidikan mampu mengubah nasib sesebuah keluarga itu,” kata Ismail Sabri. 

Dua lagi pemenang Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 ialah Nur Alieya Nafisya Muhamad Farid dan Intan Elya Rumaisa Zainudin yang mencatatkan keputusan 6A. 



Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 ini akan dikreditkan bersama-sama dengan Bantuan Kasih YKM Fasa 2 kepada para penerima yang layak pada 19 Julai 2024. 

Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2023 dan Bantuan Kasih YKM Fasa 2 ini melibatkan 515 penerima dengan implikasi kewangan hampir RM300,000. 

Ismail Sabri berkata, bantuan bagi Fasa 2 ini adalah bukti komitmen berterusan YKM dalam membela nasib anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19. 

Sebelum ini, pada 20 Mac 2024, YKM telah menyalurkan sebanyak RM515,000 bagi Fasa 1 Bantuan Kasih YKM. 



Bantuan Kasih YKM merupakan salah satu inisiatif yang diberikan secara tahunan dan dikreditkan kepada akaun penerima yang layak kepada tiga fasa iaitu pada Mac, Julai dan November. 

Sejak YKM ditubuhkan, pelbagai jenis bantuan telah diberikan kepada mereka yang layak khususnya anak-anak daripada keluarga yang berpendapatan rendah atau B40 yang kehilangan ibu, bapa dan ibu bapa akibat Pandemik COVID-19, kemalangan dan bencana alam. 

Pada tahun ini (2024), YKM telah memperuntuk sebanyak RM1.3 juta kepada lebih 700 anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19 menerusi inisiatif Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan dan Bantuan Menara Gading. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
12
0
19
0

Copy Link: