Pacu kolaborasi antarabangsa! UPSI, UPGRIP tingkatkan kualiti pendidikan! Usaha pertukaran kepakaran!
Published byPelajar UPSI dari FMSP UPSI membuat persembahan tarian sempena menyambut ketibaan delegasi UPGRIP di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
DALAM usaha memperkukuh, mempromosi dan membangunkan disiplin akademik serta hubungan antara institusi akademik kedua-dua negara, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas PGRI Palembang (UPGRIP) pada 16 Januari 2025.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, MoU itu
bertujuan untuk memperluas peluang antarabangsa melalui program pertukaran
pelajar serta kakitangan, mobiliti dan pelbagai inisiatif lain.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan adalah langkah strategik dalam memperkukuhkan hubungan antara UPSI dan UPGRIP, yang akan memberikan impak besar dalam meningkatkan lagi kualiti pendidikan di kedua-dua institusi.
Menurutnya, melalui inisiatif pertukaran kepakaran dan penyelidikan bersama, UPSI dan UPGRIP dapat memperkaya pengalaman pendidikan dan menyumbang kepada pengembangan ilmu pengetahuan serta pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi.
Majlis menandatangani MoU antara UPSI dan UPGRIP.
Jelasnya, antara inisiatif utama digariskan dalam kerjasama berkenaan termasuklah pertukaran kepakaran merangkumi idea, teknik dan ekspresi artistik, khususnya dalam mengembangkan pemahaman yang lebih mendalam terhadap warisan budaya, teknologi pendidikan, pendidikan inklusi, pendidikan awal kanak-kanak serta pendidikan berasaskan pengajian persembahan dan kebudayaan.
“Melalui penyelidikan bersama, kita dapat menangani isu-isu
global yang relevan, sekali gus meletakkan UPSI dan UPGRIP pada barisan hadapan
dalam menghasilkan penyelidikan memberi manfaat kepada masyarakat,"
jelasnya.
Turut hadir pada majlis memeterai MoU berkenaan, Timbalan Rektor 1, UPGRIP, Prof Madya Dr Dessy Wardiah; Timbalan Rektor 2, UPGRIP, Prof Madya Dr Yasir Arafat; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Dekan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saerani.
Prof Dr Md Amin, berkata kerjasama itu turut membabitkan
perkhidmatan komuniti bersama yang bertujuan menangani cabaran masyarakat dan
menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
Beliau berkata, program kuliah tamu yang memperkaya
pengalaman akademik melalui sesi disampaikan oleh fakulti dan profesional
terkemuka dari kedua-dua institusi juga akan diperkenal serta tidak
ketinggalan fokus turut diberikan kepada peningkatan profesionalisme ,di samping
kemahiran dalam penganjuran konsert, festival dan persembahan berskala besar termasuk
bertaraf antarabangsa.
“Inisiatif ini dijangka memberi kesan positif kepada
penarafan kedua-dua institusi, serta membantu UPSI untuk mencapai ‘By Subject
Ranking’ dalam bidang seni persembahan selain kerjasama itu juga diharapkan
dapat meningkatkan jumlah penyelidikan dan penerbitan dalam jurnal berindeks
Scopus dan WoS.
"Kerjasama ini bukan sahaja akan meningkatkan penarafan UPSI dalam bidang seni persembahan, malah ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua institusi untuk berkembang lebih jauh dalam penyelidikan dan pendidikan yang lebih global,” ujarnya lagi.
Sesi pertukaran dokumen MoU antara UPSI dengan UPGRIP yang diketuai Prof Dr Md Amin Md Taff (lima dari kanan) dan Prof Madya Dr H Bukman Lian (lima dari kiri), yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Sementara itu, Rektor UPGRIP, Prof Madya Dr H Bukman Lian,
berkata kerjasama yang terjalin itu bukan sahaja membuka peluang bagi
pertukaran pengetahuan dan pengalaman tetapi juga memberi ruang untuk
menyatukan budaya, seni dan pendidikan kedua-dua institusi.
Beliau berharap perjanjian itu akan memperkukuh lagi
hubungan akademik dan membantu dalam meningkatkan standard pendidikan tinggi di
kedua-dua negara.
"Ini adalah permulaan kepada hubungan yang lebih luas
dalam bidang pendidikan dan penyelidikan di samping kami di UPGRIP berharap
dapat terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, terutama bagi menghasilkan
penyelidikan yang memberi kesan kepada masyarakat global.
“MoU ditandatangani dijangka akan mencipta kerjasama sinergi
bermanfaatkan kepakaran bersama dalam memajukan amalan pendidikan, mendorong
inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta menyumbang kepada pembangunan
modal insan yang berkualiti tinggi.
“Kerjasama ini diharap dapat memberi impak besar kepada pengembangan ilmu pengetahuan dan penyelidikan pada peringkat antarabangsa, seterusnya membawa faedah kepada kedua-dua negara,” tegasnya. - KitaReporters