Seramai 36 Pegawai Kadet PALAPES Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Wataniah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Muda PALAPES Universiti Awam ke-42 tahun 2024 bertempat di Padang Kawad Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 21 September 2024.

Mereka adalah terdiri daripada 21 Pegawai Kadet Lelaki dan 15 Pegawai Kadet Wanita dan merupakan sebahagian daripada sejumlah 1,435 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 Universiti Awam (UA) yang diraikan dalam istiadat kali ini. 



Anugerah Pegawai Kadet Terbaik USIM diberikan kepada Muhammad Ajwad Sarbani, 25, dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, program Qiraat dengan Kepujian. 

Apabila ditanya tentang motivasinya menyertai PALAPES, beliau menjawab, “Cinta kepada negara Malaysia. Jika diimbas kembali zaman penjajahan, semangat pahlawan tidak pernah luntur dalam mempertahan tanah air hingga ke titisan darah terakhir. 

"Jadi, saya memilih PALAPES sebagai platform untuk menceburi bidang ketenteraan dan mendapat pendedahan sebelum menyertai anggota tetap dalam Angkatan Tentera Malaysia.”

Beliau menambah lagi bahawa pengalaman ini telah memberi impak besar kepada jati diri, di mana pendedahan kepada ilmu peperangan telah menguatkan ketahanan mental dan fizikalnya. 

Ajwad, anak ketiga daripada empat adik-beradik, bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan.



Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim bercemar duli menyempurnakan istiadat perbarisan tersebut.

Turut Hadir ialah Menteri Besar Perak Dato Seri Saarani Mohamad bersama isteri dan juga Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Kolonel (Kehormat) Profesor Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM merangkap Komandan PALAPES USIM turut hadir menyaksikan majlis pentauliahan tersebut bersama Naib-Naib Canselor Universiti Awam yang lain. 

Sama hadir meraikan Pegawai Kadet yang ditauliahkan adalah Timbalan Komandan PALAPES USIM Mejar Rozaimi bin Kamarudin. - KitaReporters/USIM


 

 

8
18
0
11
0

Copy Link: