Latihan Kesihatan Mental! Program MyCekap Masyarakat USIM beri pendedahan penting isu penyakit mental!
Published by
Bertemakan “Mencetus Transformasi dalam Masyarakat bagi Membendung Stigma dan Diskriminasi”, Program MyCekap Masyarakat iaitu Latihan Kesihatan Mental yang disertai seramai 100 orang peserta daripada pelbagai latar belakang telah terlibat secara fizikal dan secara dalam talian untuk mendapatkan pendedahan mengenai isu kesihatan dan penyakit mental dalam komuniti telah berjaya diadakan di Dewan Kuliah Utama, USIM baru-baru ini.
Di samping itu, program ini juga dapat memberi kesedaran mengenai stigma dan diskriminasi yang berkaitan dengan kesihatan mental serta cara-cara menangani isu tersebut.
Pengarah Ummi Maktum, Dr. Norakyairee Mohd. Raus dalam ucapan perasmiannya berkata, program ini dianjurkan dengan harapan dapat memberi impak dengan membuka mata masyarakat bahawa diskriminasi dan stigma terhadap para pesakit mental dan OKU mental berkurang, dan pesakit tidak lagi malu untuk mencari dan mendapatkan rawatan.
Sementara itu, salah seorang peserta program, Qurratu Aisha,
22, berkata, program kolaboratif ini memberi impak yang sangat besar buat
mahasiswa di mana peserta didedahkan dengan jenis-jenis masalah kesihatan
mental, cara mengatasinya dan juga cara membantu orang sekeliling disamping
sesi perkongsian oleh pakar-pakar yang mempunyai pengalaman selama belasan
tahun di dalam lapangan tersebut.
“Secara keseluruhannya, program ini menyuburkan lagi rasa cakna terhadap diri sendiri dan orang sekeliling sekaligus memperkasa nilai nilai manusiawi di dalam diri mahasiswa itu sendiri. Hal ini bertepatan dengan seruan pihak kerajaan, untuk melahirkan masyarakat yang memenuhi elemen madani dan sekaligus mempunyai nilai insani yang tinggi”, ujarnya lagi.
Program dibahagikan kepada tiga sesi utama dengan topik-topik yang cukup signifikan.
Sesi yang pertama berfokus kepada diskusi bertajuk “Beza antara kesihatan mental vs penyakit mental”, diikuti topik “Penyakit Mental: Apakah definisinya? Adakah saya mengalaminya? Bagaimana saya mendapatkan bantuan” pada sesi kedua dan berakhir dengan sesi ketiga membincangkan tentang “Pengurusan Emosi & Kesihatan Mental Di Tempat Kerja”.
Program anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Cawangan Komunikasi Penghakupayaan Orang Kurang Upaya (CKPOKU), Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) turut mendapat kolaborasi dari Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA); Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah; Sekretariat Sahabat Faqeh USIM; Seksyen Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendaftar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); serta Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. - KitaReporters/USIM