Tahniah UUM! Bakal sambut Hari Pengasasan ke-38, 16 Feb 2022! Tapi siapa cipta logo universiti?
Published byUniversiti Utara Malaysia (UUM) akan menyambut ulang tahun Hari Pengasasannya ke-38 pada 16 Februari 2022 ini. Mungkin ramai yang ingin mengenali dan mengetahui siapakah pencipta logo di sebalik kelahiran Universiti Pengurusan ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UUM
Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh yang dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang pertama.
Memandangkan Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh yang dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang pertama pernah dipinjamkan sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) atau yang kini dikenali dengan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) pada tahun 1978-1980 maka peluang diberikan kepada pelajar Kursus Seni Reka Grafik UiTM Shah Alam untuk menyertai dan menghantar penyertaan mereka untuk pertandingan mencipta logo UUM ini.
Hasilnya tiga pensyarah yang diketuai Ketua Kajian Seni Reka Grafiknya Prof Dr Zahari Zain Sulaiman bersama 12 pelajarnya telah menghantar penyertaan mereka.
Bagi menyambut hari bersejarah pada 16 Februari ini pihak Unit Komunikasi Korporat UUM telah menghubungi pereka logo UUM Mohd Taslim Abd Rashid di Batu Pahat Johor.
Pelajar semester akhir Kursus Seni Reka Grafik yang diitemui itu berkata, pensyarahnya telah mewajibkan lebih 100 pelajar kelasnya untuk menghasilkan logo UUM ini pada tahun 1984.
“Saya tidak menyangka logo ciptaan saya yang mengabungkan empat warna iaitu biru tua, lima jalur berwarna putih, enam biji padi berwarna kuning dan biru muda sebagai latar belakang di luar perisai itu berjaya menambat hati juri,” katanya lagi.
Alumni ITM Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka 1985 ini menambah dalam logo itu terdapat lakaran tiga dimensi iaitu mata pena melambangkan peranan UUM sebagai institusi pendidikan dan keilmuan.
Manakala dimensi kedua pula melambangkan nama universiti itu UUM yang terdapat lengkung berwarna putih di bawah sekali melambangkan huruf “U” singkatan daripada perkataan universiti ini manakala garis lengkung di atas pula melambangkan “U” dari perkataan utara.
“Garis tegak di tengah-tengah dan diapit oleh dua garis lengkung di kiri dan kanannya melambangkan huruf “M” iaitu Malaysia dan terbentuklah perkataan UUM,” sambungnya lagi.
Dalam dimensi ketiga pula Mohd Taslim berkata, ia membawa erti yang terkandung dalam moto UUM di mana dua garisan yang melambangkan keilmuan dan enam bulatan bujur yang berwarna kuning di tengah-tengah perisai mata pena itu adalah hasil padi masak yang membawa erti kebudimanan berasaskan prinsip ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Akhirnya ketiga-tiga garisan di bahagian atas logo itu adalah lambang usaha bersama orang perseorangan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan masyarakat selaras dengan moto UUM ilmu, budi dan bakti. - KitaReporters