Baik punya guru! Project Cikgu santuni keluarga pelajar SMK Tunku Putra! Ziarah kasih, bakul Ramadan!
Published byCikgu Yusof Nayan mengunjungi seorang pelajarnya.

SEMPENA bulan Ramadan, bulan baik lagi mulia ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra di Langkawi melancarkan projek amal yang dinamakan Projek Cikgu sebagai satu inisiatif menyantuni beberapa keluarga pelajar yang terpilih dengan pemberian Bakul Ramadan.
Program ziarah kasih dengan membawa bakul Ramadan yang berlangsung pada 13 Mac 2025 ini bertujuan untuk mendekati dan memahami keadaan keluarga pelajar yang memerlukan serta memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Kunjungan mesra ini diketuai Pengetua SMK Tunku Putra, Cikgu Yusof Nayan bersama barisan kepimpinan sekolah termasuk Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM), Cikgu Azaham Abu Hassan; Penolong Kanan Kokurikulum (PK Ko), Cikgu Yati Abu Seman serta dua orang kaunselor sekolah.

Ketika sesi perbualan dengan waris pelajar berlangsung hujan lebat secara turun tiba-tiba dan membasahi suasana.
Namun guru dan sukarelawan yang mengikuti program ini walaupun terpaksa berlari ke kenderaan masing-masing tetap gembira dapat menyantuni rumah pelajar-pelajar mereka.
Semangat untuk membantu dan menyantuni keluarga pelajar tetap utuh dan membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar di dalam kelas tetapi juga melibatkan empati dan sokongan kepada komuniti pelajar. - KitaReporters