Tahniah, selamat bertugas VC baharu UTM, UMPSA! Tugas besar dan mencabar menanti! Semoga berjaya!
Published by
Penyerahan watikah pelantikan Dr Mohd Shafry Mohd Rahim (dua dari kiri) selaku Naib Canselor UTM dan Dr Yatimah Alias (dua dari kanan) selaku Naib Canselor UMPSA disempurnakan oleh Dr Zambry Abdul Kadir (tengah) di Kementerian Pendidikan Tinggi pada 8 januari 2025.
MANUSIA mempunyai
kebolehan untuk meneroka pengetahuan jika diberi peluang dan diberi panduan
sewajarnya.
Inilah falsafah
dan keyakinan Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, 49, yang dilantik sebagai Naib
Canselor baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkuat kuasa pada 9 Januari 2025.
Beliau merupakan seorang daripada dua tokoh akademik dilantik naib canselor baharu.
Seorang lagi ialah Profesor Dr Yatimah Alias, selaku Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Tarikh kuat kuasa pelantikan Dr Yatimah ialah pada 13 Januari 2025.
Sebelum ini masing-masing merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM dan Universiti Malaya (UM). Dr. Mohd Shafry memegang jawatan di UTM sejak 2023 sementara Dr Yatimah di UM sejak 2022.
Pelantikan mereka untuk tempoh dua tahun. Watikah pelantikan diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di pejabatnya pada 8 Januari 2025.
Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Bagi Dr Mohd Shafry, dalam melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan insan, kaedah dan pendekatan yang betul perlu diguna pakai demi mencapai matlamat meneroka pengetahuan.
Ke arah itu, beliau menekankan setiap insan harus diajar supaya mempunyai keupayaan berfikir untuk kesejahteraan sejagat. Beliau sedia berkongsi pengalaman dengan individu atau organisasi untuk mencipta kejayaan.
Kini dengan pelantikan sebagai Naib Canselor UTM, Dr Mohd Shafry mampu melebarkan sayap berbakti beliau bukan sahaja dalam aspek pendidikan dan akademik tetapi juga pentadbiran selaku pegawai tertinggi UTM. Dr. Mohd Shafry ialah ‘orang dalam’ yang telah lama bersama UTM sebagai pelajar dan tenaga pengajar.
Beliau memperoleh Diploma Sains Komputer di UTM pada 1977, seterusnya Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Sains Komputer. Beliau kemudian menyambung pengajian ijazah kedoktoran (PhD) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang ‘Spatial Modelling’.
Warga UTM pasti bangga dengan pelantikan Dr Mohd Shafry.
UTM bermula sebagai Maktab Teknik, kemudian menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) sebelum naik taraf menjadi Universti Teknologi Malaysia pada 1975. Naib Canselor pertama ialah Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, sebelumnya Rektor ITK.
Pintu gerbang UTM di kampus Skudai, Johor Bahru.
Sesungguhnya UTM dan UMPSA beruntung kerana Dr Mohd Shafry dan Dr Yatimah membawa bersama mereka kepakaran serta pengalaman akademik dan pentadbiran yang luas.
Ia merupakan aset penting membawa kecemerlangan kepada universiti masing-masing khasnya dan dunia pendidikan amnya.
Dr Mohd Shafry merupakan pakar bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) sementara Dr. Yatimah ialah pakar dalam bidang ‘Electrochemistry and Ionic Liquids’ (Elektrokimia dan Cecair Ionik). Dr Yatimah memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang Kimia daripada University of East Anglia, Australia.
Dalam bidang pentadbiran, Dr Mohd Shafry pernah memegang beberapa jawatan pentadbiran. Antaranya Timbalan Dekan (Kokurikulum dan Pembelajaran Perkhidmatan) di Sekolah Pengajian Pra-Siswazah, Pengerusi Sekolah Pengajian Pra-Siswazah, Pengerusi beberapa institut di UTM serta Felo Penyelidikan sebelum dilantik Timbalan Naib Canselor.
Dr Yatimah pula memiliki pengalaman luas dalam pengurusan pentadbiran di UM, selain reputasi tinggi dalam bidang akademik.
Antara jawatan yang pernah disandang di UM ialah Pengarah Pusat Pembangunan Kurikulum UM, Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik serta Presiden Persatuan Penyelidikan Ionic Liquids Malaysia (MILRS).
Dr Yatimah Alias
Pelantikan Dr Mohd Shafry dan Dr Yatimah diharap akan menyuntik semangat baharu dalam kemajuan akademik. Ini sejajar dengan keyakinan dan harapan Kementerian Pengajian Tinggi pelantikan mereka akan memperkasa pembangunan akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi terkini.
Mereka juga diharap mampu melahirkan graduan berminda global, kompetitif dan inovatif, mempunyai identiti diri yang kuat serta bersedia memasuki pasaran industri. Tugas ini memang mencabar tetapi mesti dilaksanakan dengan penuh iltizam.
Dalam pada itu tidak lupa terima kasih kepada mantan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan mantan Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Yusserrie Zainuddin atas khidmat penuh dedikasi yang dicurahkan. - KitaReporters
Pintu gerbang UMPSA di Gambang, Kuantan, Pahang.