Syabas Kos SUKSIS USIM! Teruskan program jelajah sahur! Demi eratkan ukhuwah dengan barisan hadapan!
Published by
“Barisan hadapan ibarat perisai negara. Mereka perlu disantuni terutama pada bulan Ramadan. Kekuatan jasmani dan rohani mereka amat penting dalam mengekalkan keharmonian negara daripada sebarang ancaman,” kata Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyantuni barisan hadapan sekitar Seremban sempena Jelajah Sahur Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) USIM bersama Naib Canselor USIM pada 30 Mac 2024 lalu.
Program Jelajah Sahur Kor SUKSIS bersama Naib Canselor USIM diadakan pada setiap tahun oleh Kor SUKSIS USIM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM bertujuan menyantuni dan menghargai jasa petugas barisan hadapan termasuk polis dan bomba yang bertugas sekitar Seremban.
Di samping itu, program ini juga bertujuan memperkenalkan ahli Kor SUKSIS USIM kepada petugas barisan hadapan untuk menjalin hubungan baik dan meningkatkan kemahiran insaniah ahli Kor SUKSI USIM.
Agihan set sahur sebanyak 300 bungkus berbentuk makanan dan buah-buahan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan 10 Balai Polis sekitar Seremban termasuk satu Balai Bomba Rahang. Set sahur tersebut ditaja oleh Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM.
“Program seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang kerana impak jalinan hubungan baik antara USIM dengan petugas barisan hadapan sekitar Seremban amat baik dan secara tidak langsung keselamatan warga USIM lebih terjaga,” tambah Naib Canselor USIM.
Jelajah ini turut disertai Profesor Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar; Profesor Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat; Mohd Shahrul Nizam Mohamed Shamsuddin, Pengarah Jabatan Keselamatan; dan ahli Kor SUKSIS USIM. - KitaReporters/USIM