PELAJAR tahun akhir Master Inovasi Reka Bentuk Perindustrian (MIDI) atau Projek Akhir Pembangunan Prototaip berjaya menghasilkan reka bentuk produk perindustrian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pameran MIDI yang dihasilkan oleh 10 pelajar tahun akhir MIDI buat pertama kali dipamerkan di Galeri Serdang, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setiap pelajar ditugaskan untuk menghasilkan idea dan solusi melalui keadah reka bentuk bagi membantu serta memberikan manfaat kepada organisasi syarikat dan individu tertentu.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan berita dan aktiviti kampus UPM


Kerusi makan kanak-kanak boleh laras : 

Hasil reka bentuk Muhd Azizi Ahmad, pelajar MIDI menghasilkan C.A.C, kerusi makan kanak-kanak yang boleh dilaraskan ketinggiannya mengikut usia.

“Kerusi makan kanak-kanak yang boleh dilaraskan ketinggiannya mengikut umur dari 2 tahun sehingga 12 tahun. Keistimewaan kerusia ini sangat memudahkan ibu bapa apabila kerusi ini boleh diubah ketinggian tanpa menggunakan skrew atau perkakas bertukang.

“Saya mencipta C.A.C kerana melihat sendiri kepayahan empat orang anak. Apabila masuk umur 3 tahun, seorang kanak-kanak ini perlu menggunakan kerusi orang dewasa yang tidak sesuai buat mereka dan membataskan aktiviti mereka.
“Kayu adalah bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan kerusi kanak-kanak ini kerana ianya senang untuk dilupuskan dan paling penting alam sekitar terjaga,” katanya.


Pinggan khas pesakit Parkinson :

Bagi pelajar MIDI, Azri Hafizee Hariri pula beliau menghasilkan reka bentuk sebuah pinggan khas untuk pesakit Parkinson ataupun warga emas yang tangannya lemah.

“Piatto adalah pinggan dalam Bahasa Itali. Saya mendapat idea untuk menghasilkan pinggan yang mempunyai tombol di tengah-tengah yang mempunyai banyak fungsi dan memudahkan mereka untuk makan.

“Tombol tengah adalah titik tengah yang memudahkan warga tua atau mereka yang menghidap Parkinson mencedok makanan dalam pinggan menggunakan satu tangan sahaja.

Ini kerana mereka dalam golongan tersebut mengalami kesukaran menggunakan pinggan seperti mereka yang normal.

“Material seramik yang digunakan pada pinggan Piatto direka dengan agak berat supaya ia tidak muda bergerak bagi memudahkan kehidupan warga tua dan menghidap Parkinson untuk menjamah makanan,” katanya. 


Pelindung dada wanita berhijab :

Sukan memanah tradisional dan moden telah menjadi pencetus inspirasi bagi Siti Ruzimah Kamaruddin, pelajar MIDI, dalam mereka cipta produk sukan memanah khas untuk pemanah Muslimah berhijab.

Beliau telah mereka bentuk produk yang difokuskan untuk meningkatkan prestasi atlet, dan dalam masa sama, mendukung kehendak syariat dalam tatatertib pemakaian.

“Produk yang dibangunkan ialah pelindung dada penahan yang mengawal tudung wanita berhijab dari terbuka aurat di leher, bahu dan dada.

Ini juga dapat meningkatkan keselamatan dan prestasi atlet pemanah wanita berhijab. Ini kerana, pemakaian hijab ketika memanah menyukarkan atlet bagi mencapai teknik yang sempurna dalam panahan.

“Saya berharap ia dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada atlet dalam negara, malah berpotensi untuk diguna pakai oleh pemanah-pemanah muslimah yang berhijab dari negara-negara Islam lain,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, FRSB UPM, Prof. Madya Dr. Zalina Shari berkata, program ini juga mampu membantu pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dalam mempersembah idea mereka dan menyuarakan inovasi mereka. 

Pada masa yang sama ia dapat melahirkan insan yang kemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri pada masa kini. 

“Setiap pelajar ditugaskan untuk menghasilkan idea dan solusi melalui kaedah reka bentuk bagi membantu serta memberikan manfaat kepada organisasi syarikat dan mahupun individu tertentu,” katanya lagi. - KitaReporters/UPM


9
15
0
12
0

Copy Link: