Galeri Warisan Islam! IPG pertama miliki jam matahari! IPGKDRI mantapkan pendidikan ilmu Islam!
Published byINSTITUT Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail (IPGKDRI), Kuala Nerus, Terengganu, mengorak langkah membina Dataran As Syams yang menempatkan jam matahari atau mizwalah bagi tujuan memantapkan pembelajaran siswa guru di IPG berkenaan.
Pengarahnya, Dr Narita Mohd Noor, berkata pembinaan mizwalah di dataran itu adalah sebahagian item yang ada dalam Galeri Warisan Islam yang sudah diwujudkan di IPGKDRI dengan mendapat kerjasama penuh daripada Persatuan Falak Syar’i Malaysia dan Jabatan Ukur Negeri Terengganu dalam mendapatkan mizwalah yang tepat untuk kegunaan warga IPG.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan IPG
Dr Narita (kanan) mengiringi Dr Mohamad Isa memotong riben sebagai menandakan perasmian Mizwalah atau Jam Matahari di IPGKDRI.
Menurutnya, idea untuk membina galeri itu timbul apabila pensyarah menghadapi masalah untuk menunjukkan istilah berkaitan dengan waktu solat, kedudukan istiwa berdasarkan kedudukan matahari, Gantang Baghdad, Gantang Madinah dan istilah Dua Kolah.
Jelas Dr Narita, sambil mengucapkan tahniah kepada beliau, Yang Dipertua Persatuan Falak Syar'i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, memaklumkan IPGKDRI merupakan institusi pendidikan pertama yang mempunyai mizwalah.
“Tuan Syed Kamarulzaman berharap supaya ilmu mengenai mizwalah dapat dikembangkan kepada seluruh orang Islam di negara ini dan langkah
IPGKDRI membina Mizwalah merupakan satu langkah terbaik kerana guru nanti akan
bertugas di seluruh negara dan diharapkan ilmu tentang Mizwalah akan terus
tersebar luas,” katanya.
Perasmian dataran berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Mohamad Isa Azis bersempena Majlis Tilawah, Tafsir dan Hafazan Al-Quran (MTTHQ) Peringkat Kebangsaan yang diadakan di IPGKDRI bermula 12 hingga 13 Mac 2022.
Dr Mohamad Isa (kanan) melihat mizwalah atau jam matahari pada majlis perasmian di IPGKDRI, Kuala Nerus, Terengganu pada 13 Mac 2022 lalu.
Dr Narita berkata, pembinaan mizwalah adalah item yang utama
dalam pembinaan Galeri Warisan Islam dan selain daripada mizwalah berkenaan,
IPGKDRI juga telah membina replika Dua Kolah, Gantang Madinah, Gantang Baghdad
dan Mud Madinah.
Dalam ucapan pada majlis
perasmian dataran itu, Dr Narita melahirkan rasa bersyukur kehadrat Ilahi
kerana hadirin dapat berkumpul di dataran Pusat Islam Al Muttaqin (PIAM) itu. Pusat berkenaan dinaik taraf sebagai Pusat Islam berikutan
peranannya semakin besar dan mencabar.
Menurutnya, PIAM diharapkan menjadi mercu tanda kerana selama ini seluruh IPG dan masyarakat mengenalinya berikutan ada TELLTrac tetapi dengan wujud Galeri Warisan Islam itu akan bertambah kenal lagi warga pendidik khususnya masyarakat Islam kepada IPGKDRI.
Mohammad Shamsudin Jamiran (kanan) memberi taklimat penggunaan Mizwalah kepada Mohamad Isa dan tetamu jemputan pada majlis perasmian.
Dr Mohamad Isa dalam ucapan perasmiannya, mengucapkan
tahniah kepada IPGKDRI kerana berjaya membangunkan Galeri Warisan Islam di
kampus itu selain berasa amat teruja dengan kesungguhan IPGKDRI membangunkan
dataran berkenaan kerana ia bukan satu usaha yang mudah.
Katanya, dia amat menghargai komitmen yang ditunjukkan warga
IPGKDRI dalam membangunkan galeri berkenaan dan berharap kandungan galeri itu bukan
semata-mata replika, tetapi replika yang mendapat pengiktirafan daripada pihak
yang berautoriti kerana ilmu Islam itu terlalu luas, istilah yang digunakan
oleh ulama sejak dahulu sebenarnya tidak lapuk ditelan zaman.
Umpamanya, menurut beliau, semoden mana sekalipun kehidupan kita, amalan membayar zakat tetap disandarkan kepada sukatan gantang, sama ada Gantang Baghdad atau Gantang Madinah dan majoriti kita hanya boleh menyebut kedua-dua jenis gantang ini, tetapi warga IPGKDRI dapat mempamerkan sukatan gantang yang disebut dalam kitab yang muktabar.
“Adanya sistem perpaipan moden menyebabkan kita tidak kenal dengan “kolah” termasuk istilah dua kolah. Saya percaya, ukuran dua kolah ini pun ramai antara anak didik kita yang tidak tahu. Walaupun kita tidak mengambil wuduk dengan air kolah, namun ukuran dua kolah sewajarnya menjadi satu pengetahuan yang wajib dikuasai orang Mukmin.
“Saya tertarik dengan jam matahari atau mizwalah. Ilmu
mengenai falak, penentuan waktu solat, kedudukan matahari dan bulan merupakan
ilmu yang hampir pupus. Idea menghasilkan binaan mizwalah di IPGKDRI sewajarnya
diperluaskan ke semua IPG negara kita.
“Ilmu berkaitan dengan ilmu falak syarie merupakan ilmu yang amat menarik. Ilmuwan Islam yang berkaitan dengan ilmu falak semakin dipinggirkan dan saya berharap warga IPGKDRI , khususnya guru pelatih dapat memanfaatkan galeri ini bagi memantapkan pengetahuan dalam dalam ilmu warisan Islam,” katanya.
Sementara itu, dalam tiga acara MTTHQ IPGM yang dipertandingkan dalam kategori lelaki dan perempuan, keputusan pertandingan bagi tilawah al-Quran dimenangi Afif Asrar Zulkifli dari IPG Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan Sarawak dan Alaa’ Ahmad Sayuti dari IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka.
Hafazan al-Quran pula dimenangi Muhammad Imran Hussin dari IPG Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu dan Aufa Nuha Zulkifli dari IPG Kampus Darulaman, Kedah. Manakala acara tafsir al-Quran dimenangi Wan Ahmad Zulhilmi Zulkifli dari IPGKDRl dan Nur Fatin Nadhirah Azlan dari IPG Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
Tuan rumah IPGKDRI muncul juara keseluruhan diikuti IPG Kampus Pendidikan Islam Bangi, Selangor di tempat kedua dan ketiga IPG Kampus Ipoh Perak.
Program yang disertai 27 IPG merupakan acara utama dalam takwim IPGM yang diadakan dua tahun sekali. Tema MTTHQ pada tahun ini ialah 'Al-Quran Memacu Kecemerlangan Insan Guru Rabbani'.
Juara keseluruhan MTTHQ 2022 IPGKDRI menerima piala yang menjadi rebutan.
Pada sebelah malam telah diadakan Malam Mahbbah Negeri Terengganu di Dewan Duyong Convention Centre Marina Duyong, Kuala Terengganu yang ditaja oleh Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah.
Manakala Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Terengganu, Dato’ Yahaya Ali, yang turut hadir melancarkan Unit Rakan Siswa YADIM (RSY) & Logo MTTHQ IPGM.
Turut berlangsung majlis menandatangani sijil kolaborasi dakwah dan kepemimpinan antara Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan dengan Dr Mohamad Isa disaksikan oleh Dato’ Yahaya Ali.
Majlis penyampaian watikah pula disampaikan kepada wakil RSY IPG, Hafizul Hadi iaitu pelajar dari IPG Bangi selaku Naib Presiden RSY peringkat kebangsaan.
Penganjuran MTTHQ dan RSY IPG itu berupaya melahirkan siswa guru yang kompeten dan mempunyai budaya sukarelawan selaras dengan transformasi IPG KPM 2016-2025 iaitu menjurus kepada peningkatan standard pendidikan di Malaysia melalui pembangunan insaniah guru. - KitaReporters
Dr Mohamad Isa (kiri) dan Nasruddin menandatangani sijil kolaborasi dakwah dan kepemimpinan.