Tahniah bergelar Sarjana! Suami isteri harungi cabaran bagi teruskan pengajian! Selamat bergraduasi!
Published byKOMITMEN menguruskan keluarga dan mencari nafkah dalam waktu yang sama bukan suatu yang mudah bagi pasangan suami isteri yang masih meneruskan pengajian pada peringkat tinggi. Ia memerlukan semangat juang yang tinggi untuk menjadikan impian itu sebagai realiti.
Bagi Muhamad Qamarul Haziman Abdullah
dan isterinya, Wan Najma Farhaten Wan A Latiff, masing-masing berusia 30 tahun,
pengurusan masa amat penting selain nilai tolak ansur antara satu sama lain.
“Saya dan isteri sangat bersyukur kerana keputusan yang dibuat secara bersama beberapa tahun dulu dapat kami nikmati manisnya pada hari ini (22 Oktober 2023)," katanya ketika meraikan hari graduasi sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-21.
Katanya lagi, cabaran yang dihadapi sepanjang meneruskan pengajian selepas bergelar suami isteri amat sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Pasangan suami isteri Wan Najma Farhaten Wan A Latiff dan Muhamad Qamarul Haziman Abdullah.
"Nampak mudah, tetapi ada masa memang rasa nak menangis. Untuk sampai ke tahap ini memang perlu banyakkan sabar dan bijak kawal tekanan,” katanya.
Memandangkan kami belajar sambil bekerja jadi banyak waktu berehat atau bersama keluarga terpaksa dikorbankan.
“Perjalanan pengajian kami tidak mudah dengan tiada geran tersedia kerana dana MyBrain untuk Sains Gunaan dihentikan, namun kami berjaya mendapat tajaan dan pinjaman bersyarat dari Yayasan Bank Rakyat dan JPA," ujar Muhamad Qamarul yang berjaya menamatkan pengajian program Sarjana Sains Makanan, Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) UMT.
Menurutnya, tempoh perjalanan pengajian turut terganggu akibat serangan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu.
“Kami juga diuji dengan PKP pada tahun 2020 yang merencatkan proses penghantaran tesis dan kami juga diuji dengan tiga kematian ahli keluarga dalam sela masa dua tahun,” tambahnya.
Selain itu, sikap saling memahami, bertukar dan berkongsi pendapat, serta saling memberi dorongan membuatkan pengajian mereka berjalan lancar, katanya yang menggalakkan lebih ramai pasangan yang sudah berumah tangga menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sebahagian pelajar yng menghadiri majlis Konvokesyen Ke-21 UMT
Pasangan suami isteri itu adalah antara 2,388 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ke 21 UMT yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 Oktober 2023.
Untuk rekod, UMT kini memiliki sejumlah 41,863 alumni sejak penubuhannya dan telah berjaya mengeluarkan graduan peringkat Diploma, Asasi, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. - KitaReporters