Syabas pelajar UIAM Pagoh! Anjur Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah! Tingkatkan keyakinan diri!
Published byPelajar membuat senaman ringan bersama-sama warga emas untuk membina kecergasan.
SATU nilai tambah yang baik kepada 19 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, Johor sebelum bergraduet apabila hadir untuk menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 23 Mei 2024.
Program
Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah itu juga menepati latihan luar kampus
pelajar terbabit dalam mempertingkat keyakinan dan jati diri dengan
berpegang utuh kepada nilai-nilai adat, budaya, agama dan bangsa apabila berada
dalam lingkungan komuniti masyarakat pelbagai kaum.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu (Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari) UIAM Kampus Pagoh, Dr Nurul Jamilah Rosli, berkata apa yang pelajar belajar dalam bilik kuliah secara teori yang belum mencukupi atau menepati apabila mereka berdepan dengan masyarakat dalam kehidupan yang sebenar.
Dr Nurul Jamilah Rosli dan Azman Ras,am melakukan gimik perasmian Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah.
Justeru
itu, menurutnya, hasil kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan pelajar
sendiri membawa mereka keluar ke lapangan untuk menimba pengalaman menyantuni
warga emas secara realiti dengan mempraktikan ilmu yang dipelajari dalam bilik
kuliah.
Tambahnya,
daripada pengamatan dia program dianjurkan itu menepati dengan kursus dalam
Program Sarjana Muda Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa diikuti pelajar terbabit yang membantu mereka bagi mula membina pengalaman baharu berdepan
dengan orang ramai termasuk warga emas.
Jelasnya, pelajar terbabit juga akan memahami khususnya sikap warga emas di pusat jagaan sebagai contoh menghadapi pelbagai masalah yang bukan setakat sahaja uzur malah ada antara mereka pelupa, dan kena bertanya berkali-kali untuk memahami apa soalan yang diajukan atau mengikuti arahan.
Muhammad Syafiq Mohiadin dan Mohiadin Bahado menerima sumbangan barangan makanan.
“Ini semua akan menguji kesabaran pelajar terbabit dan memikirkan cara terbaik bagi menyantuni warga emas seperti itu seperti bahasa yang perlu dituturkan, berlembut penuh sopan dan paling penting bersabar dengan mereka apabila bekerjaya nanti.
“Saya
berpuas hati dengan pembabitan pelajar dalam program ini yang menunjukkan
mereka bersikap positif dalam menjaga tatasusila melayani warga emas walaupun
kali pertama terbabit dengan aktiviti khidmat komuniti,” ujarnya ketika ditemui
pada majlis perasmian program berkenaan.
Turut hadir
pada majlis itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahadol Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden.
Pada majlis itu selain bertukar cenderamata, UIAM turut menghulurkan sumbangan kepada PJMM yang diterima oleh Azman.
Dr Nurul Jamilah (duduk kiri) bersama pengurusan PJMM, warga emas dan pelajar merakamkan kenangan pada Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah pada 23 Mei 2024.
Sementara
itu, Pengurus Program berkenaan, Jihan Irniesha Mohd Nazri, berkata objektif
program itu adalah bagi mempertingkat kemahiran berbahasa pelajar melalui
interaksi dengan warga emas, menekankan penggunaan bahasa yang santun dan
hormat-menghormati.
Tambahnya,
ia juga untuk memupuk kesedaran sosial dalam kalangan pelajar mengenai
keperluan dan keinginan warga emas, dengan menitikberatkan kepentingan
menunjukkan budi bahasa melalui komunikasi yang beretika.
Di samping
itu, jelasnya ia juga menggalakkan nilai-nilai kesantunan dalam budaya bahasa,
dengan memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan norma budi bahasa
melalui aktiviti yang membabitkan usaha membantu warga emas di rumah orang tua.
“Program ini juga merupakan tugasan bagi subjek BMCO 3102: Kesantunan Berbahasa yang memerlukan pelajar untuk menghasilkan sebuah projek bagi menerapkan amalan kesantunan,” ujarnya.
Jihan Irniesha Mohd Nazri menemu bual seorang warga emas dalam aktiviti yang diadakan dalam program berkenaan.
Jihan
Irniesha berkata PJMM dipilih kerana pusat jagaan berkenaan merupakan antara
pusat jagaan yang terbaik dari aspek penerimaan untuk menjalankan program serta
amat responsif terhadap sebarang pertanyaan yang diajukan, urusan bersama pihak
pusat itu juga amat mudah untuk pihak kami bekerjasama.
Menurutnya,
antara aktiviti dilakukan dalam program itu termasuklah senaman ringan, kotak
beracun iaitu memerlukan warga emas menyanyi, berpantun atau bersajak dan
secara tidak langsung mewujudkan hubungan ramah mesra serta pemberian hadiah
kepada mereka.
Jelasnya,
aktiviti yang dilaksanakan itu mendidik diri pelajar untuk berlaku santun, memiliki
kekayaan jiwa dari aspek menghargai ibu bapa serta orang yang lebih tua, memupuk
kasih sayang mereka terhadap warga emas dan mencungkil bakat terpendam penghuni.
“Kesimpulan
kami berasa amat bersyukur kerana kehadiran bagi menjalankan tugasan yang
diamanahkan diterima baik oleh pihak pengurusan PJMM kerana turut banyak
membantu dalam melakukan persiapan program serta memudahkan ia dilaksanakan
dengan jaya.
“Semua kami amat bersyukur diberikan rezeki peluang untuk menyantuni warga emas di PJMM yang mampu mendidik hati dan diri menjadi seorang lebih menghargai insan yang tersayang serta dapat membantu dalam menerapkan nilai kesantunan dalam diri,” katanya. - KitaReporters
Dr Nurul Jamilah menyampaikan cenderamata kepada Azman.