Dalam usaha untuk memelihara ilmu khazanah manuskrip Melayu, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah bekerjasama menganjurkan Program Pensijilan Profesional Konservasi Manuskrip Melayu baru-baru ini. 

Bertemakan Gen-Z Pencinta Manuskrip Warisan Bangsa, seramai 50 orang peserta dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah terpilih telah ‘berkampung’ selama seminggu di USIM dan 2 minggu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bagi menjayakan program yang berlangsung 3 hingga 21 Julai 2023.

Timbalan Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli dalam ucapannya berkata kerjasama antara pihak USIM dan PNM khususnya melalui Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) telah lama terjalin. 

Para penyelidik dari USIM juga telah banyak menjalankan kajian dan penyelidikan manuskrip Melayu dan beberapa penerbitan hasil penyelidikan tersebut juga telah diterbitkan oleh PNM.



Sementara itu, Prof. Madya Dr. Azman Hashim @ Ismail, Dekan Institut Sains Islam berkata, progam Sijil ini adalah bertujuan untuk memberikan kefahaman secara intensif profesion kurator, melatih para peserta mengenai skop, bidang tugas dan gerak kerja berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan naskah manuskrip.

“Di samping itu juga, program ini dapat melahirkan Eksekutif Kurator yang menyokong dan memenuhi keperluan pasaran industri dari aspek pemuliharaan dan pemeliharaan warisan negara di Malaysia. 

"Seterusnya, memberikan nilai tambah kepada para peserta di mana Sijil Profesional Kurator ini diiktiraf oleh industri berkaitan pemuliharaan warisan seperti Muzium, Arkib, Galeri Seni, Perpustakaan dan agensi-agensi lain yang berkaitan”, ujarnya lagi.

Sesi kuliah disampaikan oleh tenaga pakar dalam bidang manuskrip dari Patani, Istanbul dan Malaysia. 

Selain daripada itu, turut diadakan adalah lawatan ke International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), IIUM Kuala Lumpur, Muzium Kesenian Islam (MKI), dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). 

Setiap aktiviti yang dianjurkan dalam program ini, para peserta didedahkan dengan pemuliharaan, merawat dan menjadi warisan khazanah manuskrip-manuskrip klasik di nusantara dan rumpun ini.

Turut hadir Prof. Ts. Dr. Norita Md. Norwawi, ketua Geran Program Pensijilan Profesional Konservasi Melayu. - KitaReporters/USIM

 

 

 

9
15
0
15
0

Copy Link: