UNIVERSITI Sains Islam Malaysia melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan Politeknik Port Dickson telah bersetuju memeterai jalinan kerjasama melalui Certificate of Collaboration atau Sijil Kolaborasi (CoC) untuk memperkasa bidang penyelidikan, inovasi dan penerbitan.

Menurut Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM berkata, strategi ini memberi peluang kepada kedua-dua buah institusi untuk berkongsi kepakaran terutama dalam bidang kejuruteraan dan seni bina.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan aluan sempena program Outreach UPU2U di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson pada 3 Oktober 2022 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus USIM


“Dengan berkongsi kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan seni bina, USIM dan Politeknik Port Dickson boleh berbincang untuk menghasilkan satu “showcase” pada peringkat nasional untuk menunjukkan keunikan dan hasil kreativiti pelajar dari kedua-dua buah institusi,” katanya lagi.

Program Outreach UPU2U ini adalah program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyebarluaskan maklumat mengenai kemasukan ke Universiti Awam melalui UPUOnline.



Sementara itu, Prof. Madya Dr. Nurkhamimi Zainuddin, Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) berkata, inisiatif penganjuran Outreach UPU2U ini adalah satu strategi dalam memberi maklumat dengan lebih awal agar kesedaran untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi dapat dipertingkat.

“Kita menyahut dengan positif usaha yang dilakukan oleh KPT dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada para pelajar untuk terus menyambung pengajian selepas tamat persekolahan

Pendekatan “turun padang” bertemu dengan para pelajar sekolah yang dijemput di sekitar Port Dickson ini diharap dapat memberi pendedahan kepada mereka dan menyelami keperluan atau membantu kekangan yang mereka hadapi,” katanya lagi.



Program selama dua hari ini, dihadiri 20 buah pempamer termasuk Universiti Awam dan agensi seperti Bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Klinik Kesihatan Port Dickson. 

Selain itu, program ini juga diselingkan dengan beberapa aktiviti seperti program bual bicara bersama alumni USIM dan Politeknik, pameran sains dan demonstrasi pemadaman kebakaran dan ujikaji sains oleh pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, USIM.  

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Politeknik Port Dickson dan dirasmikan oleh Dato Tun Hairudin Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUn) Bagan Pinang. - KitaReporters/USIM


14
9
0
18
0

Copy Link: