Riadah cara UniMAP! Sukan woodball eratkan hubungan warga HEPA! Wujudkan keharmonian dan kerjasama!
Published byPenganjuran program riadah sukan woodball dilihat menjadi medan terbaik mengeratkan hubungan kakitangan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, keharmonian dan kerjasama antara kakitangan adalah kunci utama kepada keberhasilan dalam setiap organisasi.
”Hubungan baik di tempat kerja tidak hanya melibatkan aspek profesional, tetapi juga memerlukan elemen persahabatan dan empati.
”Komunikasi yang wujud harus berlandaskan rasa hormat terhadap pandangan dan pendapat rakan sekerja kerana ia akan mencipta persekitaran positif sekali gus menjadi motivasi kepada setiap individu untuk memberikan yang terbaik,” katanya ketika dihubungibaru-baru ini.
Ujar Prof. Dr. Mustafa, penyertaan aktif dalam aktiviti riadah akan meningkatkan peluang berinteraksi dan mengurangkan jurang perhubungan antara staf dan pelajar.
Malah penganjuran program tersebut juga adalah sebagai platform untuk mengurangkan tekanan, seiring dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengendalikan isu kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.
”Aktiviti riadah telah terbukti dapat membantu memperbaiki keadaan mental dan emosi seseorang, selain mengurangkan stres yang mungkin timbul ekoran tuntutan akademik dan kerja.
”Warga HEPA memainkan peranan penting dalam pembentukan dan kejayaan mahasiswa terutama di UniMAP yang seringkali dilihat berdepan dengan tekanan dan tanggungjawab yang besar,” katanya.
Menurut Prof. Dr. Mustafa, program riadah woodball di HEPA adalah satu inisiatif yang bermakna dalam memperkukuh ukhuwah, mengurangkan jurang antara pelajar dan staf serta menjaga kesihatan mental warga HEPA.
“Usaha sebegini harus terus berkembang di institusi pengajian tinggi lain sebagai langkah positif supaya dapat membina sebuah komuniti yang berdaya tahan, saling menyokong, dan menyumbang kepada kejayaan bersama," katanya lagi. - KitaReporters/UniMAP