Perlukan fleksibiliti dan insentif! Jika mahu tambah baik kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN!
Published byGambar hiasan... Usaha untuk memperkukuh ekosistem pendidikan termasuk memastikan kesinambungan dana PTPTN dan meningkatkan kebolehpasaran graduan amat dialu-alukan.
Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa pihak pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan kadar pembayaran balik pinjaman pendidikan tanpa membebankan peminjam disambut baik.
Keprihatinan Perdana Menteri terhadap kelestarian dana PTPTN amat penting bagi memastikan generasi masa depan terus mendapat manfaat pembiayaan pendidikan tinggi, kata Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin.
Beliau yang merupakan graduan Sarjana Muda Kewangan berkata, namun sebarang langkah penambahbaikan harus mengambil kira situasi ekonomi semasa, kadar pengangguran graduan serta keupayaan peminjam untuk membuat bayaran balik tanpa menjejaskan kesejahteraan hidup mereka.
PM mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara pada 17 Mac 2025.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan yang lebih fleksibel seperti skim pembayaran berdasarkan pendapatan atau insentif kepada peminjam yang konsisten membayar mengikut jadual wajar dipertimbangkan.
"Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kadar pembayaran balik tetapi juga memastikan para graduan tidak terbeban sebaik sahaja memasuki alam pekerjaan," jelas beliau yang juga Alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).
Terdahulu, Perdana Menteri mengarahkan pihak pengurusan PTPTN untuk membentangkan cadangan penambahbaikan bagi mempertingkat kadar pembayaran balik pinjaman pendidikan tanpa membebankan peminjam.
Kertas cadangan penambahbaikan itu, katanya, perlu dibentangkan selepas Hari Raya Aidilfitri 2025 ini.
Selain itu, Anwar juga berkata, beliau menitikberatkan persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Science (Sains), Technology (Teknologi), Engineering (Kejuruteraan), and Mathematics (Matematik) atau STEM, dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang kian berkembang pesat.
Sehubungan itu, Saniy berkata, penekanan terhadap bidang STEM khususnya dalam industri semikonduktor adalah satu langkah strategik untuk memperkasakan daya saing graduan tempatan pada peringkat global.
Namun usaha ini perlu disertai dengan penambahbaikan sistem pendidikan bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia dan berkemahiran dalam industri yang semakin berkembang pesat ini, katanya lagi.
"Sebagai alumni UUM kami percaya bahawa pendidikan berkualiti adalah kunci kepada pembangunan negara.
"Oleh itu sebarang usaha untuk memperkukuh ekosistem pendidikan termasuk memastikan kesinambungan dana PTPTN dan meningkatkan kebolehpasaran graduan amat dialu-alukan.
"Kami berharap cadangan yang bakal dibentangkan oleh PTPTN selepas Aidilfitri nanti akan membawa manfaat kepada semua pihak khususnya pelajar dan graduan yang masih bergelut dengan pembayaran pinjaman," tegas beliau. - KitaReporters