Penyerahan modul SPM Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap, Sabak Bernam.


PROGRAM empowerNCER Akademik yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memberi impak terhadap prestasi pendidikan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Orang Asli di Perak yang berlangsung pada 13 Mei 2024.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, sebagai universiti pendidikan di negara ini, pastinya menjadi tugas dan tanggungjawab universiti untuk memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik kepada negara dalam memastikan sistem pada peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Justeru, katanya, melalui program empowerNCER Akademik itu, fokus pendidikan berkenaan menjadi keutamaan universiti kepada komuniti.


Dr Md Amin Md Taff


 

Dr Norkhalid Salimin


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UPSI (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata program empowerNCER Akademik, dapat mewujudkan akses sama rata terhadap pendidikan yang berkualiti serta memberi peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan kecekapan demi mengurangkan kadar pengangguran rakyat di negara ini. 

Seusai keputusan SPM yang diumumkan baru-baru ini, program empowerNCER Akademik dengan kerjasama Majlis Belia Selangor (MBS) meneruskan pelaksanaan program empowerNCER Akademik itu melalui program penyerahan sumbangan modul kepada komuniti daerah Sabak Bernam, Selangor.

Manakala menurut Presiden MBS, Datuk Mohd Imran Tamrin, beliau melihat dan mengikuti perkembangan serta pelaksanaan inisiatif program empowerNCER Akademik yang dilaksanakan di Perak itu.

Melalui program kolaborasi dan khidmat sosial, jelasnya, ia dapat mengembangkan lagi manfaat program berkenaan ke Selangor khususnya bagi daerah luar bandar seperti di daerah Sabak Bernam. 


Penyerahan modul Tahun Enam di Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam.


"Melalui pelaksanaan program dan inisiatif ini, 300 naskhah bagi modul Sejarah SPM diberikan kepada beberapa sekolah terpilih di daerah berkenaan.

“50 set naskhah bagi setiap modul lima mata pelajaran teras bagi sekolah rendah juga diberikan melalui Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam," katanya.

Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Yusaini Salleh, berkata beliau sangat berbesar hati menerima sumbangan modul tersebut kerana ia memberikan manfaat kepada murid di daerah luar bandar seperti Sabak Bernam.

Menurutnya, melalui sumbangan modul itu juga dapat membantu pihak sekolah khususnya murid untuk terus meningkatkan prestasi akademik melalui modul yang dibangunkan oleh guru serta pensyarah pakar daripada UPSI.

"Semoga melalui inisiatif pelaksanaan program ini diharapkan dapat memberi impak pembelajaran kepada semua murid di daerah Sabak Bernam selain dapat membantu komuniti murid khususnya dalam memartabatkan dan memperkasakan pendidikan di Malaysia,” ujarnya. - KitaReporters


Penyerahan modul SPM Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena, Sabak Bernam.

21
16
0
10
0

Copy Link: