Pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Malaysia menyemarakkan semangat 27 belia yang terdiri daripada mahasiswa dan pemimpin belia negara ini.

Pelajar Sarjana Muda Kewangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin, 25, yang mewakili Parlimen Kubang Pasu berkata, program bersama Ahli Parlimen ini adalah selepas mengikuti bengkel tiga hari yang dianjurkan oleh Akademi MySDG Sustainable Development Goals (SDG) Belia 2022/2023 di International Youth Centre (IYC), Cheras pada 11 Mac hingga 13 Mac 2023 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti belia-belia


MOHD SANIY SAMSUDIN


Katanya, peluang ini amat bemakna kerana bukan sahaja dapat bersua muka dengan Speaker Dewan Rakyat Datuk  Johari Abdul dan Ahli-Ahli Parlimen lain yang terdiri daripada kelompok kerajaan dan pembangkang malah dapat berkomunikasi dan menyampaikan hasrat belia di negara ini.

“Kami yakin suara belia pastinya didengar dan diperlukan untuk membangunkan negara tercinta ini,” sambung pelajar Beta Gamma Sigma (BGS) ini lagi.

Pelajar tahun akhir UUM ini yakin dan akan terus bersama-sama rakan belia dan komuniti untuk membantu melaksanakan analisis isu, penyelesaian, penyelidikan secara akar umbi, perkongsian pelbagai pihak berkepentingan, termasuk meningkatkan kesedaran dan pembangunan kapasiti pada peringkat tempatan dan kawasan pilihan raya Parlimen Malaysia nanti.



MUHAMMAD ZIKRY IRFAN UZAIDI


Manakala pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Muhammad Zikry Irfan Uzaidi, 24, berkata, selepas bengkel yang dihadiri tempoh hari sesungguhnya membuka ruang dan peluang kepadanya untuk mengetengahkan projek di kawasan Parlimen Tanah Merah nanti.

“Sesungguhnya melalui SDGs ini membuka peluang kepada saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama Ahli Parlimen kawasan masing-masing bagi menyelaras dan menengahkan idea-idea untuk membangunkan komuniti setempat terutamanya,” katanya yang juga aktivis masyarakat.

Zikry juga berharap rakan-rakan belia dan mahasiswa supaya bangun dan bekerjasama dengan komuniti setempat dan wakil rakyat dalam membangunkan negara ini.



MUHAMMAD SYAHMI MOHD SHARIFUL AZWAN


Bagi  pelajar semester tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Awam UTHM Muhammad Syahmi Mohd Shariful Azwan, 23, pula penyertaan dalam SDG ini memberi kelebihan kepada golongan belia terutama untuk bersama-sama membuka minda dan bekerja secara berpasukan samada dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana persatuan dan kelab.

Menyentuh mengenai peluang bertemu dengan Ahli-Ahli Parlimen Syahmi gembira kerana semuanya bersikap terbuka apabila menerima kunjungan dan mendengar suara yang diketengahkan mereka.

“Kami gembira kerana hasil pertemuan itu memberi gambaran bahawa ahli parlimen baik dari kerajaan dan pembangkang sentiasa terbuka apabila menerima pandangan dan cadangan dari golongan belia,” sambungnya. - KitaReporters


19
8
0
11
0

Copy Link: