RISE Educator Award kembali untuk tahun kelima dengan jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM100,000 bagi menghargai pendidik cemerlang yang telah memberi impak besar kepada kehidupan pelajar. 

Dianjurkan oleh Taylor’s College dan cabang penglibatan pelajarnya, The Risers, anugerah ini terus menjalankan misinya untuk meraikan serta mengiktiraf guru-guru paling berdedikasi di negara ini.

Pencalonan dibuka dari 17 Mac hingga 30 April 2025 untuk menjemput orang ramai mencalonkan pendidik luar biasa dari sekolah kebangsaan, swasta, dan antarabangsa di peringkat prasekolah, rendah, dan menengah di seluruh negara. 

Guru-guru yang menunjukkan dedikasi luar biasa kepada komuniti sekolah mereka boleh dicalonkan dengan menghantar kisah ringkas dalam 100 patah perkataan yang memfokuskan sumbangan mereka dalam memastikan pendidikan berkualiti dan saksama.



Hadiah RISE Educator Award 2025:

Pemenang Utama:

  • RM5,000 wang tunai untuk pendidik yang menang
  • RM50,000 tajaan untuk sekolah mereka
  • RM500 wang tunai untuk pencalon

Empat Finalis:

  • RM1,000 wang tunai untuk setiap pendidik
  • RM10,000 tajaan untuk sekolah setiap finalis
  • RM250 wang tunai untuk setiap pencalon
  • Jumlah Hadiah Keseluruhan: Lebih RM100,000 dalam bentuk wang tunai dan tajaan sekolah 



"Dalam landskap pendidikan Malaysia yang terus berkembang dalam menekankan pembelajaran digital, pembangunan pelajar secara holistik, serta akses saksama kepada pendidikan berkualiti, Taylor’s College terus komited dalam menyokong pendidik yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi tinggi," kata Josephine Tan, Pengarah Kampus Taylor’s College.

Tambahan beliau, RISE Educator Award yang membawa maksud Remarkable Impact in Student Education (RISE), ataupun Kesan Luar Biasa pada Pendidikan Pelajar, mencerminkan peranan guru yang penting dalam membentuk minda anak muda dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif. 

"Dengan peningkatan tajaan anugerah ini, kami berharap dapat terus memperkasakan para pendidik supaya mereka mampu mencipta impak positif yang berkekalan dalam bilik darjah dan komuniti mereka," tambahnya.

Malaysia terus berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan termasuk memperkukuh kemahiran asas, merapatkan jurang pendidikan luar bandar, serta meningkatkan penglibatan pelajar dan pemikiran kritikal. Dalam menyokong usaha ini, inisiatif seperti RISE Educator Award memainkan peranan penting dengan mengiktiraf dan memberi inspirasi kepada guru-guru yang komited dalam mencapai matlamat ini.

Kementerian Pendidikan percaya bahawa dengan memberi pengiktirafan kepada pendidik cemerlang menerusi program seperti RISE Educator Award, lebih ramai guru akan terdorong untuk mencipta seuatu yang baharu, melibatkan pelajar dengan lebih berkesan, dan merapatkan jurang pembelajaran, sekali gus menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan dinamik. 

Pemenang RISE Educator Award tahun lalu, Cikgu Shawn Stanly Anthony Dass dari SK RPS Banun, Gerik, Perak, adalah contoh kecemerlangan untuk pengajaran yang berdedikasi. 

Dengan tajaan sebanyak RM20,000 yang diterima melalui anugerah ini, Cikgu Shawn telah mengubah satu kawasan yang jarang digunakan menjadi Hab Pembelajaran, sebuah ruang serba guna di mana pelajar, ibu bapa, dan komuniti Orang Asli tempatan dapat belajar dan berkolaborasi bersama.

Hab Pembelajaran tersebut mengandungi tiga zon utama yang bertemakan Pembelajaran, Permainan, dan Kolaborasi yang direka untuk menggalakkan rasa ingin tahu, kreativiti, dan semangat kemasyarakatan. 

"Hab Pembelajaran lahir daripada daya kreativiti dan keazaman pelajar kami. Ia adalah tempat di mana mereka boleh belajar, berkembang, dan berhubung dengan komuniti mereka. 

"Dengan dana RM20,000, impian kini menjadi kenyataan," kata Cikgu Shawn.

Usaha inovatif Cikgu Shawn membuktikan betapa besarnya impak seorang guru, bukan sahaja dalam bilik darjah tetapi juga buat seluruh komuniti. 



Jika anda mengenali seorang guru yang turut berdedikasi, inilah masa terbaik untuk mencalonkan mereka bagi Anugerah RISE Educator 2025.

Anugerah ini mengiktiraf guru dari sekolah kebangsaan, swasta, dan antarabangsa yang menunjukkan dedikasi luar biasa terhadap pelajar dan komuniti mereka. 

Daripada pencalonan yang diterima, 10 guru akan disenarai pendek, dan kisah mereka akan dipaparkan di halaman RISE Educator untuk undian awam. 

Lima guru dengan undian tertinggi akan mara ke peringkat akhir, di mana panel hakim akan menilai sumbangan mereka kepada pendidikan yang merangkumi 75% daripada keputusan akhir, manakala undian awam menyumbang sebanyak 25%.

Tahun ini, Taylor’s College sekali lagi bekerjasama dengan Teach For Malaysia untuk panel hakim. Panel hakim terdiri daripada Chan Soon Seng, Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia dan pemenang tahun lalu Cikgu Shawn Stanly Anthony Dass, yang membawa kepakaran mereka untuk menilai dan meraikan pendidik yang paling memberi inspirasi di Malaysia.

Calonkan seorang pendidik yang layak hari ini dan bantu untuk mengiktiraf guru yang membentuk masa depan pendidikan di Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
6
0
20
0

Copy Link: